Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Hidupkan Semula Amalan Bacaan Rawi, Marhaban, Berzanji - Sultan Mizan

05/09/2025 01:48 PM

KUALA TERENGGANU, 5 Sept (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah supaya amalan bacaan rawi, marhaban dan berzanji dihidupkan semula secara meluas di negeri itu.

Baginda bertitah tradisi yang menjadi sebahagian daripada warisan budaya Melayu Islam di Terengganu itu perlu dilaksanakan di masjid, surau, institusi pendidikan serta majlis komuniti.

Baginda bertitah berdasarkan catatan sejarah, pada zaman pemerintahan Al-marhum Sultan Zainal Abidin III, majlis berzikir termasuk bacaan rawi, marhaban dan berzanji telah menjadi amalan yang subur dalam kalangan rakyat Terengganu, khususnya apabila tibanya Rabiulawal.

Ad Banner

"Bacaan ini bukan hanya sebahagian daripada tradisi warisan Melayu Islam tetapi menjadi satu daripada medium dakwah, pendidikan nilai dan rohani serta pengukuhan kefahaman kepada sirah Baginda (Nabi Muhammad SAW).

“Ini sekali gus akan menghubungkan hati umat dengan sejarah warisan dan kecintaan terhadap Rasulullah SAW," titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ad Banner

Sultan Mizan bertitah tema sambutan Maulidur Rasul iaitu 'Membangun Ummah MADANI' amat signifikan kerana menekankan kepentingan membentuk masyarakat yang bukan sahaja maju dan berilmu tetapi juga berpaksikan nilai akhlak serta kasih sayang sebagaimana diajar oleh Rasulullah SAW.

Justeru, baginda menyeru seluruh rakyat agar menjiwai dan mengamalkan nilai murni yang dibawa Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan seharian sama ada dalam keluarga, tempat kerja mahupun kehidupan bermasyarakat. 

"Hanya dengan semangat ini, kita mampu membina masyarakat yang harmoni, bersepadu dan sejahtera berpandukan ajaran Islam sebenar," titah baginda.

Pada majlis itu, Sultan Mizan turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu merangkumi Anugerah Tanah Perkuburan Terbaik, Anugerah Sekolah Menengah Agama Terbaik serta Anugerah Koperasi Masjid Terbaik.

Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Lintang, Besut muncul penerima Anugerah Tanah Perkuburan Terbaik manakala Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut meraih Anugerah Sekolah Menengah Agama Terbaik.

Koperasi Kariah Masjid Padang Nenas Kuala Terengganu Berhad pula diumumkan sebagai penerima Anugerah Koperasi Masjid Terbaik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan