Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tun Ramli Seru Umat Islam Pulau Pinang Hayati Akhlak Rasulullah Dalam Era Digital

05/09/2025 02:35 PM

BUTTERWORTH, 5 Sept (Bernama) -- Umat Islam di Pulau Pinang diseru agar meneladani akhlak Rasulullah SAW dalam mendepani cabaran semasa khususnya di era teknologi pintar, kecerdasan buatan (AI) dan media sosial yang semakin berpengaruh dalam kehidupan seharian.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib berkata meskipun perkembangan teknologi membawa pelbagai manfaat, ia juga mampu mengundang risiko penipuan maklumat, budaya hedonisme serta perpecahan sosial jika tidak dipandu dengan ilmu dan akhlak.

“Ummah MADANI mesti dibina dengan literasi digital berlandaskan ilmu dan akhlak, agar masyarakat Pulau Pinang bukan sahaja maju dari segi ekonomi dan teknologi tetapi juga kukuh dari segi iman serta moral. 

Ad Banner

“Dalam konteks Pulau Pinang yang meletakkan Visi Penang 2030 sebagai asas untuk membina negeri pintar berorientasikan kekeluargaan, umat Islam di negeri ini perlu bergerak seiring dengan memperlengkap nilai keilmuan dan memperkukuh institusi keluarga bagi menjamin kesejahteraan lebih berdaya saing menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang 1447H/2025M di Dewan al Ansar Masjid al Muhajirin Seberang Jaya di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Mohd Suki Othman.

Ad Banner

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan budaya buli di sekolah, universiti dan tempat kerja yang bertentangan dengan akhlak Rasulullah S.A.W.

“Mencintai Rasul bermaksud menolak budaya yang tidak berperikemanusiaan ini agar kita dapat membina generasi saling menyayangi antara satu sama lain,” katanya.

Yang Dipertua Negeri itu juga bersyukur dan kagum dengan peruntukan pembangunan agama Islam di negeri ini yang merupakan antara tertinggi di Malaysia dengan melibatkan pembangunan masjid, sekolah agama, institusi tahfiz, wakaf, zakat dan dakwah.

Ramli juga mengingatkan bahawa pembinaan Ummah MADANI tidak hanya boleh dipikul oleh pemimpin semata-mata sebaliknya ia adalah tanggungjawab setiap lapisan masyarakat.

Beliau berkata masjid dan surau perlu menjadi pusat ilmu dan perpaduan ummah, institusi keluarga  sebagai benteng akhlak manakala media sosial pula perlu dimanfaatkan sebagai medan dakwah yang menyatukan tetapi bukan memecah-belahkan ummah.

“Saya menyeru agar institusi masjid dan surau di negeri ini terus mempergiatkan program pengimarahan yang lebih berkesan, supaya sirah dan sunah Baginda benar-benar dihayati dalam setiap jiwa umat Islam di Pulau Pinang,” katanya.

Pada majlis itu, pengasas Sekolah Agama Madrasah al-Ahmadiah al-Ijtima'iyah, Jalan Padang Lallang Bukit Mertajam Hamzah Jaafar dinobatkan Tokoh Maulidur Rasul Negeri Pulau Pinang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan