KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam untuk memperkukuh kefahaman agama, memelihara akhlak serta menghayati roh perjuangan Rasulullah SAW, sebagai usaha merealisasikan konsep Malaysia MADANI.
Beliau berkata umat Islam perlu mencontohi kepimpinan dan keperibadian Rasulullah SAW yang menjadi pedoman terbaik dalam semua aspek kehidupan termasuk ilmu, amal, kasih sayang serta akhlak Baginda.
“Islam itu tegak dengan iman, ilmu dan kesedaran, amal dan semangat roh untuk melangkah maju...Keperibadian Rasulullah SAW mempunyai akhlak, amal peribadi (terbaik) keseluruhan harus menjadi pedoman,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan tausiyah (ceramah) pada Program Temu Mesra Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan di Masjid Jamek Bandar Baru Seri Petaling, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil.
Anwar berkata perjuangan menegakkan Islam tidak boleh dipisahkan daripada asas ilmu dan kesedaran, selain perpaduan masyarakat yang menjadi kekuatan umat sejak zaman Salahuddin al-Ayyubi hingga mampu menakluki semula Baitulmaqdis.
Justeru, Perdana Menteri berharap agar konsep Malaysia MADANI yang berteraskan prinsip iman, nilai, ihsan dan rahmah dapat diterjemahkan dalam pentadbiran negara termasuk aspek ekonomi, pendidikan dan sosial.
“Islam itu berbeza dengan agama lain. Ia menyeluruh dan bukan berpandukan kepada juzuk (bab) sahaja. Apabila bicara tentang negara, ia juga tidak boleh juzuk (sahaja)...ekonomi sahaja tidak boleh, politik (sahaja) lagilah tidak (boleh) tetapi semuanya mesti terangkum.
“Sebagai contoh, dalam sistem pendidikan di bawah Malaysia MADANI, mewajibkan pelajar Islam untuk memahami Islam dengan lebih baik termasuk membaca, menelaah dan memahami ilmunya.
“Sementara ihsan kepada negara pula untuk memajukannya daripada peningkatan pelaburan yang banyak masuk dari Amerika, Rusia dan Brazil untuk kerajaan tingkatkan perdagangan dalam aspek ekonomi,” kata beliau.
Beliau berkata Malaysia MADANI juga menetapkan prinsip keadilan, ihsan dan rahmah yang tinggi kepada seluruh rakyat dengan memastikan kesejahteraan semua terjamin.
“Kita mulakan dengan keluarga penjawat awam dengan menaikkan kadar elaun serta gaji yang tertinggi dalam sejarah, kemudiannya syarikat-syarikat kerajaan dan seterusnya kita cuba tekankan supaya syarikat swasta yang mencatat pulangan lebih menaikkan gaji pekerja mereka,” kata beliau.
Anwar turut menegaskan golongan berkuasa tidak seharusnya menggunakan kekayaan dimiliki untuk kepentingan sendiri, sebaliknya perlu memastikan kebajikan rakyat yang memerlukan terus terbela.
“Ini negara MADANI. Ia tidak lengkap untuk kita hanya bicara tentang pelaksanaan, tetapi pelaksanaan itu ada kesenjangannya,” kata Perdana Menteri.
Sementara itu, Anwar berkata teguran dan kritikan terhadap kerajaan, dibenarkan namun ia perlu dibuat secara beradab tanpa unsur fitnah, cercaan atau hasutan.
“Pesanan raja-raja Melayu sempena Maulidur Rasul juga mengingatkan kita supaya menjaga akhlak. Kalau ada terlanjur kata, hentikan. Kalau ada fitnah, mesti dibatalkan,” kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial