KOTA BHARU, 5 Sept (Bernama) -- Umat Islam diseru menghayati sambutan Maulidur Rasul dengan menambahkan tautan kasih sayang kepada saudara seakidah yang sedang berhadapan ujian besar khusus rakyat Palestin, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
"700 hari berlalu sejak Taufan al-Aqsa bermula, situasi terkini di medan bukan sahaja isu kemanusiaan tetapi genosid yang amat zalim dan ganas.
"Jiwa insani orang beriman seperti dihiris-hiris yang membawa kepada pelbagai inisiatif pertolongan dan solidariti termasuk misi Sumud Nusantara yang bergerak bersama-sama komuniti dunia yang punya jiwa kemanusiaan, membawa misi bantuan kepada saudara-saudara kita di sana," katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Beliau berkata selagi ada darah dan nafas, Palestin tetap jantung hati umat Islam dan inilah kasih sayang yang diwarisi daripada Rasulullah SAW, yang tidak pernah terpadam.
"Buktikan kasih sayang kita dengan memastikan jihad harta terus disumbangkan dan doa serta qunut nazilah buat mereka kerana mereka adalah jantung hati kita bersama," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial