KUCHING, 6 Sept (Bernama) -- Semua pihak digesa mengambil iktibar daripada demonstrasi yang berlaku di Indonesia baru-baru ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata insiden itu menunjukkan betapa pentingnya kestabilan dalam memastikan keharmonian negara sentiasa terpelihara.
“Lihat apa yang berlaku di negara jiran kita, pelbagai cerita telah dimainkan (pihak tertentu) sehingga menimbulkan kemarahan rakyat. Bila rakyat marah mereka protes dan demonstrasi. Protes yang aman menjadi tidak aman.
“Kestabilan dan keamanan penting untuk mengurus negara dengan baik. Bila ekonomi kita baik pelabur akan datang dan buka peluang pekerjaan. Rakyat perlu bersatu hati,” katanya semasa berucap di program Kembara Segulai Sejalai Belia Sarawak 2025 di sini, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Malaysia dan negara anggota ASEAN berharap agar demonstrasi di Indonesia akan tamat segera.
Anwar berkata ketika pertemuan di Beijing, China baru-baru ini, Presiden Indonesia Prabowo Subianto memaklumkan kepada beliau bahawa situasi di republik itu kini bertambah baik.
Pada 29 Ogos lepas, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta memaklumkan sedang memantau rapi perkembangan terkini susulan demonstrasi di Senayan, Jakarta Pusat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial