KOTA BHARU, 6 Sept (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak bercadang untuk mendakwa inidividu lain berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir, sehingga prosiding inkues kes berkenaan di Mahkamah Koroner selesai.
Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata setakat ini, hanya lima pelajar perempuan yang didakwa berhubung kes tersebut.
“Setakat ini, kita tiada cadangan untuk menuduh mana-mana suspek sehingga prosiding inkues selesai...yang kita teliti baru-baru ini hanya lima pelajar perempuan yang kita tuduh.
“Apabila inkues selesai kita akan melihat semula, itu pun bergantung kepada keputusan inkues yang sedang berlangsung di Kota Kinabalu. Sekarang dalam proses keterangan yang diberikan oleh pakar patalogi, Alhamdulillah, ia berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kampung Angkat MADANI Jabatan Peguam Negara 2025 di Padang Awam Taman Desa Kemumin, Kampung Padang Tembak di sini hari ini.
Mohd Dusuki berkata pihaknya juga akan meneliti secara menyeluruh segala kandungan yang dimuat naik di media sosial, berkaitan kes kematian Zara Qairina.
“Kita akan tengok apa kandungan dimuat naik di media sosial termasuk Tiktok, kita akan kaji dahulu (kandungan) sebelum kita ambil apa-apa tindakan selanjutnya. Buat masa ini proses masih berjalan dan kita akan teliti satu per satu.
“Apa yang kami harapkan, biar proses inkues itu berjalan. Jangan terburu-buru mahu mengeluarkan komen atau apa-apa keputusan. Beri ahli pakar patologi memberi keterangan sepenuhnya...kita tahu sesetengah pihak ada pertikai keterangan (patologi), itu tidak elok,” katanya.
Ditanya jika prosedur inkues akan dipercepatkan, Mohd Dusuki berkata prosiding itu sudah ditetapkan dalam tempoh tertentu dan akan berlangsung sebagaimana mengikut perancangan.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai. Beliau dimasukkan ke hospital sehari sebelumnya, selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.
Pada 13 Ogos, AGC mengumumkan satu inkues akan dijalankan berhubung kematiannya selepas meneliti laporan siasatan polis. Sebelum itu pada 8 Ogos, AGC mengarahkan kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.
Lima remaja perempuan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah pada 20 Ogos atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pelancaran Kampung Angkat MADANI di padang awam berkenaan, merupakan kampung angkat kedua AGC selepas kejayaan Kampung Angkat MADANI AGC di Kampung Jilid 8 dan Rangkaian Mukim Bujang, Sungai Petani, Kedah pada tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial