Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Lelaki Hilang Berhampiran Sg Perak, Kawasan SAR Diperluas

06/09/2025 10:09 PM

IPOH, 6 Sept (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang berhampiran Sungai Perak di Sungai Baru Labu, Bota Kiri dekat Seri Iskandar diteruskan hari ini dengan tumpuan pencarian di kawasan darat meliputi radius kira-kira lima kilometer (km).

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata usaha pencarian yang memasuki hari kedua mendapat bantuan polis dan persatuan nelayan.

"Operasi pencarian yang bermula 8.30 pagi tadi dengan bantuan pihak polis tertumpu kepada kawasan darat dalam radius lima kilometer selepas maklumat kita terima semalam.

Ad Banner

“Polis turut menerima laporan terbaharu mengenai kelibat individu dipercayai mangsa di kawasan berhampiran sungai, sekali gus mendorong pasukan penyelamat menjalankan pencarian serentak di kawasan darat dan air pada sebelah petang namun mangsa masih belum ditemui setakat ini," katanya dalam kenyataan malam ini.

Bagaimanapun, Shazlean berkata operasi pencarian terpaksa ditangguhkan pada 4.05 petang berikutan hujan dan akan disambung semula esok.

Semalam, Shazlean dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan lelaki itu pada 5.46 pagi. 

Ad Banner

Muhammad Nurman Mohd Nor, 27, dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 2 petang Rabu lepas setelah memasukkan lembu ke kandang dan memaklumkan kepada bapanya ingin mandi di sungai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan