PUTRAJAYA, 7 Sept (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan isu memperluaskan skop pensijilan halal kepada aspek pentadbiran negara tidak berbangkit kerana bidang berkenaan telah ditangani melalui mekanisme berautoriti sedia ada.
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata pihaknya mengambil perhatian serius terhadap pandangan yang disuarakan berhubung peranan JAKIM dalam isu pensijilan halal yang didakwa wajar diperluaskan bukan hanya kepada makanan, tetapi juga merangkumi aspek pentadbiran negara.
"Dalam hal ini, JAKIM menegaskan bahawa adalah penting untuk membezakan antara konsep halal dalam Islam yang sememangnya bersifat menyeluruh serta meliputi keadilan sosial, integriti dan tadbir urus yang baik dengan proses pensijilan halal," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sirajuddin berkata dalam konteks tadbir urus negara, tanggungjawab membanteras rasuah, memperkukuh integriti dan memastikan keadilan terlaksana merupakan mandat semua kementerian dan jabatan kerajaan, selain agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan institusi kehakiman.
Komitmen itu, katanya sejajar dengan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada semua jabatan untuk menangani rasuah, memperkukuh integriti nasional serta meningkatkan tatakelola negara yang telus dan beramanah.
"Dalam masa yang sama, Islam melalui al-Quran dan sunnah secara tegas mengharamkan rasuah, salah guna kuasa dan pengkhianatan amanah.
"Sehubungan itu, JAKIM secara berterusan menyampaikan mesej moral dan syariah ini melalui khutbah Jumaat, program pembangunan ummah, kempen kesedaran dan pelbagai saluran juga medium dakwah sama ada melalui media baharu mahu pun konvensional," katanya.
Menurut beliau, proses pensijilan halal merupakan mekanisme rasmi negara bagi menjamin keyakinan pengguna Islam serta mengawal selia industri halal agar sentiasa mematuhi standard, piawaian dan tuntutan syariah yang merentasi sektor makanan, farmaseutikal, kosmetik, logistik dan sembelihan halal.
"Tanpa pensijilan halal yang sah, masyarakat Islam berisiko berhadapan kekeliruan, manipulasi pasaran dan eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.
“Industri yang memperoleh pensijilan halal menandakan mereka telah memenuhi segala kriteria, keperluan dan piawaian selaras dengan standard halal serta tuntutan syariah yang menjadi tunjang kukuh pensijilan halal Malaysia,” katanya.
Sirajuddin berkata JAKIM akan terus fokus memastikan pensijilan halal kekal unggul di samping memperkukuh peranan dakwah dan pendidikan dalam menegaskan larangan syariah terhadap rasuah, salah guna kuasa dan pengkhianatan amanah.
"Kerajaan MADANI melalui JAKIM akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan semua pihak, bukan sahaja bagi mengekalkan pensijilan halal Malaysia sebagai penanda aras antarabangsa, tetapi juga dalam memperkasa pendidikan Islam, pembangunan ummah, dakwah serta institusi keluarga.
"Segala usaha ini menzahirkan komitmen berterusan terhadap kesucian, kebersihan, keadilan dan integriti, selaras dengan tuntutan syariah dan aspirasi negara," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial