Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Seramai 529 Wiramuda Lapor Diri PLKN 3.0 Siri 3/2025

07/09/2025 02:54 PM

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Seramai 529 wiramuda Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 3 Tahun 2025 melapor diri hari ini di dua kem Askar Wataniah dalam siri percubaan terakhir program berkenaan tahun ini.

Sehingga 12 tengah hari, seramai 279 wiramuda lelaki mendaftar di Kem Rejimen 505, Pekan, Pahang manakala 250 wiramuda wanita di Kem Rejimen 515, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Mejar Jeneral Datuk Ya'cob Samiran berkata siri ketiga tahun ini menyasarkan 700 peserta, namun jumlah itu dijangka meningkat memandangkan proses pendaftaran masih berlangsung sehingga minggu depan.

Ad Banner

“Kehadiran 529 wiramuda ini membuktikan komitmen tinggi belia Malaysia untuk menyahut cabaran mempertahankan tanah air serta menyemai nilai kepimpinan, keberanian dan semangat setiakawan.

“Latihan yang bakal mereka lalui adalah pengalaman penting untuk membentuk insan yang lebih berdisiplin dan berwawasan,” katanya pada sidang media selepas sesi pendaftaran wiramuda PLKN 3.0 Siri 3/2025 di Kem 515, di sini hari ini.

Menurut Ya’cob, seramai 60 pelatih hadir tanpa membuat pengesahan awal, sekali gus menunjukkan kesungguhan mereka untuk menyertai latihan tersebut.

Ad Banner

Beliau berkata meskipun kira-kira 20 peratus calon awal menarik diri atas sebab rasmi seperti masalah kesihatan dan kesinambungan pengajian, keadaan itu tidak menjejaskan kelancaran proses pendaftaran.

“Siri kali ini turut menyaksikan kehadiran pasangan kembar tiga lelaki yang melaporkan diri bersama di Kem 505, menjadikan ia pengalaman unik yang bakal ditempuh sepanjang latihan,” katanya.

PLKN 3.0 merupakan inisiatif kerajaan untuk membentuk generasi muda yang berkualiti seimbang dari segi fizikal, mental, kesepaduan sosial dan patriotisme dengan tahun 2025 menjadi fasa percubaan semula program itu sebelum pelaksanaan penuh secara berperingkat bermula 2026.

Sementara itu, Ya’cob berkata JLKN menyasarkan lebih 8,000 wiramuda akan menyertai PLKN 3.0 tahun hadapan, dengan beberapa kem baharu bakal dibuka termasuk di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata siri pertama akan bermula di Gemas, diikuti sembilan kem lain antaranya di Perlis, Terengganu, Negeri Sembilan dan Johor bermula April.

“Kita juga akan membuka satu kem di Sabah iaitu di Kem Kukusan, Tawau serta satu lagi di Sarawak, berkemungkinan di Kuching atau Kem Sematan,” katanya.

Beliau berkata sebagaimana pelaksanaan siri sebelum ini, pengasingan jantina akan terus dikekalkan di semua kem.

Menurutnya, maklum balas positif daripada pelatih dan keluarga yang terlibat siri terdahulu mendapati lebihi 90 peratus menyatakan kepuasan terhadap modul, kemudahan dan pengalaman sepanjang latihan, malah ramai yang mohon supaya tempoh latihan dipanjangkan.

PLKN 3.0 Siri 3/2025 kali ini turut mencatatkan peningkatan penyertaan secara sukarela melebihi 50 peratus berbanding siri sebelumnya, menunjukkan penerimaan positif dalam kalangan generasi muda terhadap program itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan