TAWAU, 7 Sept (Bernama) -- Liputan telekomunikasi di Kampung Kuala Merotai, Tawau telah berjaya dipulihkan sepenuhnya selepas mengalami gangguan berpunca daripada isu bekalan elektrik baru-baru ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata beliau telah meninjau sendiri pengoperasian Menara JENDELA di kampung berkenaan, susulan aduan daripada wakil rakyat dan penduduk setempat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Alhamdulillah, aduan tersebut telah diselesaikan oleh pihak penyedia perkhidmatan dan liputan berjaya dipulihkan. Terima kasih kepada semua pihak yang memberikan maklumat berkenaan,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebooknya hari ini.
Fahmi berkata bagi memastikan gangguan sama tidak berulang, penyedia perkhidmatan telah diarahkan untuk menyediakan kuasa sokongan seperti generator mudah alih serta menambah kapasiti bateri sehingga mampu membekalkan kuasa selama lapan jam.
Menara itu mula beroperasi pada 27 Sept 2024 menggunakan 4-Way Multi-Operator Core Network (MOCN) dengan perkongsian perkhidmatan CelcomDigi, Maxis dan U Mobile, serta diuruskan syarikat Redtone.
“Hasil ujian menggunakan aplikasi MCMC NEXUS mendapati menara ini menawarkan kelajuan sekitar 50Mbps bagi perkhidmatan 4G dan memanfaatkan kira-kira 1,200 penduduk,” katanya.
Fahmi berkata ia sekali gus membuktikan usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memastikan rakyat terus menikmati liputan telekomunikasi yang stabil dan berkualiti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial