LUNDU (Sarawak), 7 Sept (Bernama) -- Golongan wanita berusia antara 35 hingga 65 tahun yang masih aktif secara seksual, disaran menjalani saringan awal kanser serviks bagi mengurangkan kadar jangkitan serta kematian pramatang.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata pengesanan awal amat penting, kerana penyakit itu masih boleh dirawat dan disembuhkan sekiranya dikesan pada peringkat awal.
“Kementerian terus mempergiat usaha memperkukuh kesedaran kesihatan wanita, khususnya berkaitan kanser serviks melalui pelaksanaan program saringan dan kempen pendidikan di seluruh negara.
“Kami sentiasa melaksanakan program berkaitan secara berterusan sambil memohon penambahan bajet bagi memperluas capaian ke luar bandar melalui inisiatif bas pemeriksaan bergerak, yang membolehkan penduduk menjalani pemeriksaan kendiri mirip ujian COVID-19 secara DIY,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jelajah MADANI Rakyat sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Pusat Latihan Kenegaraan Sempadi, di sini hari ini.
Nancy berkata sejak kementeriannya melaksanakan program saringan kendiri virus papilloma manusia (HPV) pada akhir 2023, negeri Sarawak mencatat kadar penyertaan tertinggi setakat ini.
“Namun, sambutan di beberapa negeri lain dilihat masih rendah walaupun mempunyai akses lebih baik, terutamanya di kawasan bandar.
“Ini menunjukkan masih ada kurang kesedaran. Maka, penting untuk kita menggalakkan penggunaan kemudahan yang telah disediakan,” katanya.
Berdasarkan statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari 2019 hingga 2024, seramai 45,313 wanita di Sarawak telah menjalani ujian saringan HPV dan 162,581 wanita di seluruh negara telah menjalani saringan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial