BERITA TERGEMPAR | Earthquake: 15 government buildings in Segamat suffered minor damage, estimated repair cost is RM550,550 - Ahmad Maslan | |
JOHOR BAHRU, 7 Sept (Bernama) -- Sejumlah RM115,000 peruntukan di bawah Projek Mesra Rakyat (PMR) Parlimen Sekijang diluluskan bagi menyelesaikan isu keselamatan dan kemudahan di dua rumah ibadat bukan Islam serta sebuah surau di daerah Segamat.
Ahli Parlimen Sekijang Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata peruntukan itu melibatkan Gereja Wesley Methodist, Tokong Hua Kwong Kong dan Surau Al-Abidin di Kampung Tengah bagi memastikan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa dapat menjalankan aktiviti keagamaan dengan selesa serta selamat.
“Di Gereja Wesley Methodist, sebanyak RM50,000 diluluskan bagi membina pagar BRC sepanjang 500 kaki di sekeliling kawasan gereja selepas pihak pengurusan melaporkan berlaku pencerobohan haiwan liar dari kawasan sungai dan ladang berhampiran. Sejak pagar itu siap, tiada lagi insiden seumpama itu berlaku.
“Tokong Hua Kwong Kong pula menerima RM50,000 untuk kerja menurap semula jalan di kawasan tokong yang sebelum ini tidak rata dan pecah sehingga menyukarkan penganut, terutama warga emas. Dengan turapan konkrit yang siap, pengurusan tokong memaklumkan tiada lagi aduan diterima daripada penganut,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dr Zaliha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata Surau Al-Abidin di Kampung Tengah turut menerima peruntukan RM15,000 bagi mengecat semula bahagian dalam dan luar surau yang rosak akibat banjir.
Beliau berkata surau berfungsi sebagai solat Jumaat dan menjadi nadi ibadah masyarakat setempat.
“Alhamdulillah, surau ini kini berwajah baharu dan memberi keselesaan kepada jemaah untuk beribadah. Inilah cara kita di Sekijang, kita dengar masalah rakyat, nilai dan selesaikan. Peruntukan ini juga bukan wang saya, tetapi wang rakyat, saya hanya pemegang amanah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial