BERITA TERGEMPAR | Earthquake: 15 government buildings in Segamat suffered minor damage, estimated repair cost is RM550,550 - Ahmad Maslan | |
PUTRAJAYA, 8 Sept (Bernama) -- Usaha memperkukuh pemahaman sejarah dalam kalangan golongan muda perlu dipertingkatkan bagi memupuk minat terhadap sejarah negara sekali gus menaikkan lagi semangat cinta akan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata meskipun negara sedang menuju ke arah digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI), aspek sejarah perlu dititikberatkan supaya golongan muda sentiasa berada di landasan betul dalam mendepani cabaran semasa negara.
“Jadi, cabaran kita itu adalah bagaimana kita boleh membangunkan naratif kebangsaan yang boleh menembus rintangan yang ada agar kecelikan sejarah atau literasi sejarah itu juga boleh berkembang dalam kalangan generasi muda dan masyarakat,” kata beliau.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran, penyampaian watikah dan mesyuarat Majlis Sejarawan Negara di sini hari ini.
Beliau berkata aspek penerangan mengenai sejarah negara juga perlu lebih aktif dan menarik bagi menaikkan lagi minat golongan muda untuk memahami sejarah pembentukan Malaysia.
“Sediakan sedikit bahan sama ada dalam risalah kecil, gambar-gambar yang boleh mereka (golongan muda) bawa balik dan cuba faham (tentang sejarah),” kata beliau.
Menurut Anwar, golongan muda perlu dilatih dalam pelbagai disiplin ilmu merangkumi bahasa, budaya, agama dan AI dengan tidak sesekali meninggalkan soal nilai berteraskan "amar makruf nahi mungkar".
“Sejarah ini bagi saya bukan semata-mata disiplin ilmu, tetapi ilmu tentang masyarakat dan peradaban. Apa lagi dalam negara yang sedang berkembang, menanam semangat (minat sejarah) dalam kalangan generasi muda (perlu) supaya tidak terlepas, tidak tertinggal landasan sejarah ini.
“Dalam pendidikan saya tekankan konsep kita gapai yang di langit, kita menaikkan AI dan pemikiran baharu, tetapi kita mestilah terus mengakar ke bumi kerana sejarah itu,” kata beliau.
Anwar turut menekankan bahawa sejarah itu harus mendidik dari segi akhlak dan tidak sama sekali lari daripada kebenaran dan ketelusan sejarah yang ada.
“Tamadun tidak tertegak dengan teknologi semata-mata. Tamadun tertegak dengan budaya, dengan sejarah dan semestinya tamadun yang kita dirikan itu tamadun Malaysia,” kata Perdana Menteri.
Mengenai Majlis Sejarawan Negara, beliau berkata majlis itu berperanan untuk berwacana dengan semua pihak serta memberikan nasihat kepada kerajaan bagi mempertingkatkan literasi sejarah.
“Tugas kita (Majlis Sejarawan Negara) ialah terus berwacana dengan semua pihak, kemudian memberikan nasihat kepada kerajaan, apa lagi yang harus dilakukan,” kata beliau.
Turut hadir Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial