KUCHING, 8 Sept (Bernama) -- Sarawak menganggap cabaran penyahkarbonan sebagai batu loncatan untuk memacu negeri ke arah ekonomi hijau, digital dan diterajui inovasi, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata usaha itu dilaksanakan menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang dilancarkan pada 2022
"Asas kepada pelan hala tuju ini (PCDS 2030) ialah aspirasi kami untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030, dengan pertumbuhan ekonomi yang berakar umbi dalam kelestarian alam sekitar,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Inovasi Mobiliti Hijau di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat negeri Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.
Mengenai sidang kemuncak itu, Abang Johari berkata persidangan itu telah dipuji sebagai pemangkin kepada kerjasama, inovasi dan pelaburan dalam sektor mobiliti mampan.
Beliau berkata idea yang dibentangkan semasa sidang kemuncak itu boleh memainkan peranan transformatif dalam membentuk dasar, memupuk peluang perniagaan baharu dan memperkasakan komuniti di seluruh dunia.
"Sarawak bersedia untuk mengambil bahagian secara aktif dalam isu global. Negeri ini menghulurkan undangan terbuka untuk kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan, usaha sama dalam teknologi bersih, pembinaan kapasiti dan pertukaran pengetahuan.
"Semoga sidang kemuncak ini menjadi titik permulaan untuk idea baharu, program perintis dan juga rangka kerja serantau yang memajukan mobiliti mampan,” tambah Abang Johari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial