Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Salur Bantuan Kepada Afghanistan

08/09/2025 06:18 PM

PUTRAJAYA, 8 Sept (Bernama) -- Malaysia akan menyalurkan bantuan Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR) kepada Afghanistan susulan tragedi gempa bumi kuat yang melanda beberapa wilayah di negara berkenaan pada 31 Ogos lepas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata HADR itu meliputi bantuan perubatan dan kesihatan, bekalan makanan dan bukan makanan, serta penglibatan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO).

"Kerajaan juga akan mempertimbangkan pemberian bantuan kewangan kepada Afghanistan, yang jumlahnya akan ditentukan oleh Jemaah Menteri.

Ad Banner

"Tiada keperluan untuk menggerakkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Afghanistan bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata perkara itu diputuskan berdasarkan maklumat dan ulasan yang diperoleh daripada Kedutaan Afghanistan di Malaysia serta Kementerian Luar (KLN).

Ahmad Zahid dalam pada itu, turut merakamkan rasa dukacita dan simpati yang mendalam kepada rakyat Afghanistan susulan bencana itu yang telah mengorbankan banyak nyawa, mencederakan ratusan ribu penduduk, serta menyebabkan kerosakan besar kepada infrastruktur dan penempatan awam.

Ad Banner

"Kerajaan Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Afghanistan yang terkesan akibat bencana ini, dan menegaskan komitmen berterusan untuk bersama-sama masyarakat antarabangsa dalam usaha meringankan penderitaan mereka," katanya.

Pada 31 Ogos lepas, gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter direkodkan di pergunungan Hindu Kush, kira-kira 27 kilometer barat daya bandar Asadabad di timur Afghanistan.

Menurut data terkini, jumlah korban kini melebihi 2,200 orang, manakala kira-kira 3,600 lagi cedera.

Pada 2 Sept, satu lagi gempa bumi berukuran 5.5 pada skala Richter melanda pergunungan Hindu Kush.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan