Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Ancaman Fasiliti LNG Bintulu, Kerajaan Sarawak Dapatkan Maklumat Lanjut MKN

09/09/2025 03:53 PM

KOTA SAMARAHAN, 9 Sept (Bernama) -- Kerajaan Sarawak akan mendapatkan maklumat lebih lanjut daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan ancaman keselamatan terhadap fasiliti gas asli cecair (LNG) di Bintulu.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata setakat ini pihaknya hanya mengetahui perkara itu melalui laporan media. 

“Saya juga belum mengetahui jenis ancaman yang dilakukan. Sebab saya seperti anda semua hanya mendengar daripada surat khabar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Forum Persidangan Antarabangsa Ke-9 Kejuruteraan Awam Euro Asia di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini hari ini.

Ad Banner

Beliau berkata kerajaan negeri berharap langkah sewajarnya diambil bagi melindungi aset negara sekiranya wujud sebarang bentuk ancaman sama ada dari segi keselamatan dan sebagainya. 

“Kami berharap agar langkah diambil untuk pastikan kalau ada ancaman aset kita dilindungi. 

“Bencana boleh berlaku pada bila-bila masa, jadi saya pun tak pasti mereka (MKN) maksudkan apa sebenarnya. Saya kena tanya mereka juga,” katanya lagi.

Ad Banner

Awal hari ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan ancaman terhadap fasiliti LNG di Bintulu diterima melalui sistem pesanan ringkas (SMS) daripada nombor telefon yang berdaftar di negara jiran, Indonesia. 

Bercakap di Kuala Lumpur, beliau berkata susulan ancaman yang diterima oleh seorang petugas Petronas di Bintulu itu, kerajaan telah meningkatkan kawalan keselamatan di fasiliti LNG di Sarawak dan Sabah.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail pula berkata kawalan keselamatan di semua fasiliti LNG milik Petronas diperketatkan serta-merta susulan ancaman tersebut. 

“Pihak polis termasuk pasukan di kontinjen seluruh negara turut membantu meningkatkan keselamatan di semua fasiliti LNG Petronas bagi memastikan keselamatan fasiliti berkenaan berada dalam kawalan,” katanya.

Semalam, media melaporkan kerajaan mengarahkan semua fasiliti LNG di Bintulu mengetatkan kawalan keselamatan serta-merta susulan ancaman yang diterima bagi membolehkan siasatan segera dilakukan. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan