Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pihak Berkuasa Agama Perlu Gubal Garis Panduan Syariah Penggunaan AI

09/09/2025 05:56 PM

KUANTAN, 9 Sept (Bernama) -- Pihak berkuasa agama digesa menggubal garis panduan syariah bagi penggunaan kecerdasan buatan (AI), selain memperkukuh kesedaran digital umat Islam dengan kefahaman agama yang mantap.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata teknologi mesti dimanfaatkan sebagai medan dakwah, tarbiah dan pengukuhan iman, bukan sekadar sebagai pemacu ekonomi.

“Antara cabaran utama AI ialah isu etika penggunaan data, krisis identiti akibat manipulasi suara dan wajah serta penyebaran maklumat palsu yang boleh mengelirukan masyarakat, termasuk berkaitan ajaran Islam.

Ad Banner

"Jika tidak dikawal, teknologi ini boleh menjadi alat yang meruntuhkan kepercayaan, bukannya mengukuhkan,” katanya ketika merasmikan International Conference on Human Sciences and Civilisations (i-CONSCIENCE 2025) anjuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di sini hari ini.

Persidangan i-CONSCIENCE 2025 bertemakan Humanity in the Era of Artificial Intelligence: Preserving Values, Ethics & Cultural Identity itu dijangka mampu melahirkan idea baharu dan memperkukuh jaringan antarabangsa ke arah pembangunan tamadun insan yang beretika serta beridentiti.

Persidangan dwitahunan itu diadakan buat kali ketiga selepas kejayaan penganjurannya pada 2020 dan 2023, yang menghimpunkan lebih 180 sarjana, penyelidik dan peserta dari dalam dan luar negara bagi membincangkan isu berkaitan teknologi, nilai kemanusiaan, cabaran etika, budaya dan masyarakat dalam era AI.

Ad Banner

Mohd Na'im berkata umat Islam perlu menghadapi cabaran era AI dengan bijaksana, berpandukan nilai agama dan kesedaran digital secara komprehensif.

Beliau berkata Garis Panduan Kandungan Berunsur Islam Dalam Media Baharu yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merupakan langkah penting bagi memastikan kandungan media digital selaras dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menurutnya Islam merupakan agama ilmu, dan umatnya bukan sahaja perlu menjadi pengguna teknologi, bahkan pencipta dan peneraju dalam bidang sains, bioteknologi dan AI berteraskan nilai agama serta kemanusiaan.

Sementara itu, Naib Canselor UMPSA Prof Dr Yatimah Alias berkata bidang Sains Kemanusiaan tidak boleh dipinggirkan dalam arus Revolusi Perindustrian 4.0 kerana ia penting bagi memastikan AI dan teknologi digital berkembang seiring nilai, etika serta identiti budaya.

“Untuk membina masa depan yang mampan dan inklusif, kita tidak boleh meninggalkan warisan di belakang. Tamadun besar dunia terbina atas landasan pemikiran kukuh dan nilai kemanusiaan sejagat, bukan semata-mata kehebatan teknologi atau ekonomi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan