Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kunjungan Duta Besar Qatar, Bincang Potensi Pelaburan Dan Makanan Halal - Aminuddin

10/09/2025 05:37 PM

SEREMBAN 10 Sept (Bernama) -- Kunjungan Duta Besar Qatar ke Malaysia Salah Mohamed Al-Sorour bersama delegasinya ke Port Dickson pada Sabtu lepas, antara lain membincangkan potensi pelaburan, pelancongan, perindustrian dan makanan halal Negeri Sembilan ke Timur Tengah.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata selain itu turut dibincangkan aspek pertukaran budaya dan hubungan persahabatan rakyat yang mampu merapatkan lagi hubungan Negeri Sembilan dan Qatar.

“Kita turut mencari usaha sama yang boleh kita ketengahkan terutama dalam bidang makanan halal untuk sama-sama menjadikan Qatar sebagai tempat mengedarkan barangan kita ke Timur Tengah.

Ad Banner

“Pelabuhan di Qatar boleh dijadikan pintu masuk kepada produk barangan halal Malaysia untuk kita pasarkan ke negara Timur Tengah … mungkin boleh mulakan dengan barangan yang ada di negeri ini,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata satu majlis meraikan olahragawan dan olahragawati akan diadakan pada Disember nanti bagi menghargai usaha mereka yang mengharumkan nama Negeri Sembilan, sama ada pada peringkat negeri mahupun antarabangsa. 

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan regu Sepak Takraw Negeri Sembilan yang menjuarai saingan CelcomDigi Sepak Takraw League (STL) Champions Cup 2024 buat kali ketiga berturut-turut pada minggu lepas.

Ad Banner

“Saya harap supaya mereka terus memastikan kecemerlangan, sentiasa fokus, tambah nilai setiap kali persembahan yang mereka lakukan dan semoga terus maju jaya. Insya-Allah kita juga akan meraikan kejayaan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata tiada keperluan untuk menukar nama Port Dickson kepada nama lain seperti yang dicadangkan segelintir pihak memandangkan Port Dickson sudah terkenal dan menjadi antara identiti negeri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan