Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

RUU Antibuli: Pihak Berkepentingan Diseru Beri Cadangan Konstruktif - Azalina

12/09/2025 12:02 AM

PUTRAJAYA, 11 Sept (Bernama) -- Pihak berkepentingan diminta menyuarakan cadangan konstruktif kepada kerajaan sepanjang berlangsungnya sesi libat urus berhubung penggubalan rang undang-undang (RUU) antibuli, sehingga akhir bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata selain berkongsi cadangan ketika sesi libat urus bersemuka, mereka juga boleh memuat naik cadangan menerusi portal khas yang dibangunkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), iaitu https://petari.bheuu.gov.my.

"Objektif townhall ini untuk mendapatkan respons daripada banyak pihak, diikuti dengan portal yang dirasmikan. Selain townhall, mereka juga boleh muat naik pandangan dan kita akan menilai. 

Ad Banner

"Kalau kita tengok tadi (townhall) ramai yang beri pandangan berhubung isu tanggungjawab, liabiliti, rotan dan macam-macam lagi. Namun, buat masa ini kita tidak memberikan sebarang respons," katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Townhall 'Antibuli' anjuran BHEUU.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Azalina berkata sesi libat urus berkenaan akan diteruskan di beberapa negeri lain termasuk di Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak bermula minggu hadapan.

Ad Banner

Dalam pada itu, beliau memaklumkan rang undang-undang berkenaan antibuli itu dijangka dibentangkan di Parlimen sesi Oktober ini selepas selesai sesi libat urus berkenaan.

"Jadi, kami berharap boleh dapatkan kelulusan daripada Dewan Negara dan Dewan Rakyat dan kita boleh kuat kuasa pada tahun depan. 

"… kita mahu mendengar lebih banyak pandangan daripada orang ramai. Tidak bermakna jika masyarakat hanya meluahkan kemarahan tanpa memberikan cadangan yang konstruktif," katanya.

Sementara itu, BHEUU dalam kenyataan memaklumkan sesi libat urus tersebut dihadiri hampir 300 peserta antaranya wakil kementerian dan agensi kerajaan, guru, ibu bapa, pelajar, wakil komuniti, pertubuhan bukan kerajaan dan sektor swasta bagi membincangkan inisiatif bersepadu untuk memerangi isu buli di seluruh negara. 

“Komitmen ditunjukkan oleh semua pihak yang hadir pada hari ini mencerminkan tekad bersama untuk mencari penyelesaian tuntas terhadap isu buli,” menurut kenyataan itu di sini, malam ini.

Ia selaras dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Ogos lepas yang memberikan kepercayaan kepada Azalina untuk mempengerusikan Jawatankuasa Khas Menangani lsu Buli bagi menyelaras strategi antara kementerian dan agensi.

Antara cadangan utama yang sedang dipertimbangkan dalam penggubalan RUU Antibuli ialah penubuhan sebuah Tribunal Antibuli khusus yang berfungsi sebagai badan separa kehakiman untuk mengendalikan kes buli dengan lebih cepat, mesra mangsa dan berorientasikan pemulihan terutamanya bagi kes melibatkan golongan rentan di bawah umur 18 tahun.

Selain itu, BHEUU juga telah menandatangani satu Nota Kerjasama bersama Kementerian Pendidikan dalam Pengukuhan Pelaksanaan Pemahaman Undang-Undang Kepada Para Pendidik Dalam Usaha Pencegahan Bagi Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak Dan Pembangunan Model Undang-Undang Antibuli Terhadap Kanak-Kanak.

“Meskipun terdapat peruntukan undang-undang yang mencukupi, pendekatan perundangan tidak boleh hanya berorientasikan hukuman semata-mata terutamanya apabila pelaku buli ialah kanak-kanak atau remaja.

“Sebaliknya, penekanan utama akan diberikan kepada pemulihan dan pendidikan, selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001. Sistem tribunal yang dicadangkan dilihat lebih sesuai kerana ia membolehkan penyelesaian yang menjurus kepada rehabilitasi, bukan semata-mata pemenjaraan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan