Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Program Solar Atap Dilaksanakan Mulai Disember - PETRA

12/09/2025 11:47 AM

PUTRAJAYA, 12 Sept (Bernama) -- Kerajaan akan memperkenalkan inisiatif baharu penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) menerusi bumbung bangunan yang dikenali sebagai Program Peralihan Tenaga Solar Yang Diperkukuhkan atau Solar ATAP, bermula 1 Dis ini.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu adalah kesinambungan kepada Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) yang tamat pada 30 Jun lepas.

Menurut kementerian, pelaksanaan program itu berteraskan kepada beberapa prinsip utama iaitu mengekalkan konsep asas NEM yang membolehkan lebihan tenaga dijual kepada grid sebagai offset tenaga dengan penyesuaian supaya lebih menarik berbanding Program Solar untuk Kegunaan Sendiri  (SelCo).

Ad Banner

Kadar offset tenaga pula ditetapkan pada harga pasaran elektrik iaitu harga marginal sistem (SMP), sebagaimana pelaksanaan Program NEM NOVA sebelum ini bagi menjamin kelangsungan jangka panjang.

Had pemasangan sistem solar juga ditetapkan sehingga 100 peratus daripada permintaan maksimum, bagi membolehkan pengguna mengoptimumkan kegunaan sistem solar untuk keperluan sendiri.

“Garis panduan serta sistem pendaftaran program ini akan tersedia mulai 1 Dis 2025 dan boleh diperoleh melalui laman sesawang Suruhanjaya Tenaga serta SEDA Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Ad Banner

Kenyataan itu memaklumkan pelaksanaan Solar ATAP dijangka merancakkan pembangunan penjanaan teragih dalam sistem bekalan elektrik negara, selain memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk memanfaatkan ruang bumbung bangunan.

PETRA memaklumkan inisiatif baharu itu akan menyokong aspirasi negara untuk mencapai 70 peratus kapasiti TBB dalam perbekalan elektrik menjelang 2050, selari dengan prinsip Malaysia MADANI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan