Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PMKL Dakwa Campur Tangan Pihak Luar Cetus Kekecohan Kampung Sungai Baru

12/09/2025 12:38 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur (PMKL) mendakwa kekecohan yang berlaku di Kampung Sungai Baru semalam, berpunca daripada campur tangan pihak luar yang cuba mempengaruhi penduduk agar menolak projek pembangunan semula kawasan itu.

Pengerusinya Hussen Zulkarai berkata tindakan pihak luar yang hadir serta membuat provokasi adalah tidak wajar kerana majoriti penduduk telah memberi persetujuan untuk berpindah dan menerima pampasan yang ditawarkan pemaju.

“Sebahagian besar penduduk memahami manfaat pembangunan ini dan bersetuju menyerahkan rumah mereka. Malah ada yang sudah berpindah, menerima pampasan dengan jumlah yang memadai termasuk elaun sewa sementara yang ditanggung pemaju.

Ad Banner

“Namun, kehadiran pihak luar dengan niat menghasut hanya menimbulkan salah faham dan ketegangan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Hussen, dokumen berkaitan projek itu lengkap dengan kelulusan Pejabat Tanah dan agensi berkaitan, sekali gus membuktikan ia telah melalui proses yang sah.

Beliau menegaskan, kehadiran polis serta Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di lokasi itu hanyalah bagi memastikan keamanan, bukannya melakukan provokasi terhadap penduduk.

Ad Banner

“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan pembangunan semula Kampung Sungai Baru berjalan lancar tanpa campur tangan pihak berkepentingan. Isu ini tidak wajar dipolitikkan kerana akhirnya yang akan menikmati manfaat ialah penduduk sendiri,” katanya.

Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru itu dijangka memberi peluang kepada penduduk untuk memiliki kediaman lebih selesa dan moden, selain pampasan yang dianggarkan mencecah jutaan ringgit bagi sesetengah pemilik rumah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di kepala dipercayai terkena balingan batu oleh individu tidak dikenali ketika operasi pengosongan 37 unit rumah teres Kampung Sungai Baru, semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan