Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPKM Perkasa Komuniti Kg Tanah Melintang, Sedia Kursus TVET Tingkat Hasil Pertanian

12/09/2025 05:44 PM

KUALA PILAH, 12 Sept (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) komited memperkasakan penduduk Kampung Tanah Melintang melalui Program Kampung Angkat MADANI dengan peruntukan sebanyak RM1 juta yang disediakan kerajaan.

Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak berkata antara projek yang dilaksanakan adalah penyediaan kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada penduduk bagi mempelajari penanaman cendawan serta penghasilan sos cili.

"Peruntukan turut digunakan bagi pembinaan mercu tanda kampung, penurapan jalan sejauh 300 meter, membaik pulih atap rumah penduduk, pemasangan lampu solar dan pembelian van jenazah," katanya kepada pemberita selepas meluncurkan Program Kampung Angkat MADANI di sini hari ini.

Ad Banner

Turut hadir wakil Duta Besar Turkiye ke Malaysia Tolga Ucak, Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Adnan Abu Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim.

Sementara itu, Isham berkata selain suntikan dana kerajaan, kementerian turut mendapat sokongan Kedutaan Turkiye di Malaysia yang menyumbang perkakasan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk dimanfaatkan pelajar di kampung berkenaan.

Beliau berkata perkakasan yang disumbangkan ialah komputer riba, smartboard, sistem bunyi dan set meja kerusi untuk makmal komputer Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Melintang.

Ad Banner

"Kerajaan Turkiye mempunyai hubungan istimewa dengan Malaysia. Sumbangan Kedutaan Turkiye untuk kampung ini dianggar RM150,000 yang dapat memperluas akses kepada kemahiran digital dalam kalangan golongan muda, seterusnya mendedahkan penggunaan teknologi dalam pembelajaran," katanya.

Dalam pada itu, Isham berkata KPKM sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif strategik untuk membangunkan sektor pertanian melalui pendekatan penyatuan komuniti dan pemanfaatan tanah terbiar termasuk di Negeri Sembilan.

Beliau berkata projek tanaman jagung bijian di kawasan Juasseh, Kuala Pilah merupakan antara projek perintis terkini yang menunjukkan kejayaan awal menerusi konsep penyatuan tanah dan penyertaan komuniti setempat.

Isham berkata Kampung Tanah Melintang juga berpotensi bagi tanaman kelapa, jagung dan tumbuhan seperti maman.

“Walaupun bukan untuk dieksport, namun tanaman maman mempunyai permintaan tinggi bagi pasaran domestik. Ini menunjukkan nilai ekonomi pertanian bukan hanya bergantung kepada eksport, tetapi juga pasaran tempatan yang kukuh,” katanya.

Isham berkata kementerian bersedia memberikan sokongan dari segi teknologi, khidmat teknikal, penyediaan benih dan baja serta bimbingan kepada penduduk, bagi memastikan usaha berkenaan dapat dilaksanakan secara lebih sistematik.

Beliau turut menjelaskan isu kebimbangan terhadap pasaran hasil pertanian tidak sepatutnya timbul kerana kementerian mempunyai sistem sokongan lengkap termasuk agensi pemasaran dan pusat pengumpulan hasil tani.

Isham berkata KPKM yakin dengan kerjasama bersepadu antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan komuniti kampung, tanah-tanah terbiar di seluruh negara boleh diaktifkan dan menjadi sumber keterjaminan makanan negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan