Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Ketidakpatuhan Cukai: Tampil Buat Pengakuan Sukarela, Elak Penalti Tinggi - HASiL

12/09/2025 09:20 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) menyeru semua pembayar cukai tampil membuat pengakuan secara sukarela sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan atau kesilapan dalam maklumat percukaian bagi membolehkan mereka menikmati kadar penalti yang lebih rendah berbanding melalui proses audit atau siasatan.

HASiL dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya kekal komited dalam usaha meningkatkan kutipan hasil secara berterusan demi memacu kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat, selaras dengan aspirasi kerajaan.

“Bermula 1 Jan 2024 hingga 31 Ogos 2025, analisis risiko percukaian secara komprehensif telah dilaksanakan bagi membolehkan pengesanan ketidakpatuhan cukai dalam pelbagai sektor.

Ad Banner

“Langkah berkenaan disusuli pelaksanaan audit dan siasatan berdasarkan sumber maklumat serta penggunaan teknologi analitik yang canggih,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang tempoh berkenaan, HASiL berjaya mengesan ketidakpatuhan cukai melibatkan 1,033 syarikat dengan nilai cukai tambahan berjumlah RM15.2 bilion di samping 321 individu dengan cukai tambahan RM1.75 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan termasuk penalti mencecah RM16.95 bilion.

“Ini membuktikan keberkesanan strategi dalam menangani ketidakpatuhan cukai tanpa mengira saiz perniagaan mahupun status individu, demi memperkukuh sistem percukaian negara,” menurut kenyataan itu.

Ad Banner

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata kejayaan berkenaan adalah hasil pendekatan berasaskan data, penggunaan teknologi terkini serta kolaborasi strategik bersama pelbagai agensi penguatkuasaan yang memperkukuh keupayaan HASiL dalam pemantauan dan tindakan penguatkuasaan.

“Saya menyeru pembayar cukai agar tidak menunggu sehingga ketidakpatuhan mereka dikesan melalui audit atau siasatan kerana ia akan menyebabkan penalti yang lebih tinggi dikenakan.

“HASiL sentiasa memastikan cukai dipungut dengan adil dan saksama kepada golongan yang layak dikenakan cukai,” katanya dalam kenyataan sama.

Pembayar cukai dinasihatkan supaya sentiasa memastikan maklumat percukaian yang dikemukakan adalah tepat, lengkap dan terkini bagi mengelakkan penalti yang lebih berat serta tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP).

Berdasarkan Rangka Kerja Audit Cukai Pendapatan, kadar penalti bagi kes pengakuan sukarela sebelum tindakan audit bermula adalah 15 peratus di bawah subseksyen 113(2) ACP 1967 manakala 10 peratus bagi pembayar cukai yang mengemukakan pengakuan sukarela pertama melalui Borang Nyata Terpinda (BNT) dan seterusnya membuat pengakuan sukarela tambahan dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP). 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan