Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Arkib Negara Anjur Program Istimewa Kenang Jasa Tun Abdullah 16 Sept Ini

13/09/2025 03:01 PM

Oleh R. Ratcharathan

GEORGE TOWN, 13 Sept (Bernama) -- Arkib Negara Malaysia menganjurkan program istimewa pada 16 Sept ini bagi mengenang dan menelusuri jasa serta sumbangan besar Perdana Menteri kelima Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sekali gus menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia.

Pengarah Bahagian Arkib Negarawan Arkib Negara Malaysia Hanizah Jonoh berkata Program Mengenang Negarawan Tun Abdullah Ahmad Badawi: Bapa Pembangunan Modal Insan akan dianjurkan di Bertam, Kepala Batas dengan pelbagai pengisian menarik.

Ad Banner

Beliau menyifatkan Tun Abdullah atau yang mesra disapa “Pak Lah” sebagai tokoh negarawan yang diinspirasikan sebagai “Bapa Pembangunan Modal Insan” yang menjadikan nilai perpaduan, pendidikan dan keinsanan sebagai nadi pentadbiran beliau.

"Penganjuran program itu bertujuan menerapkan nilai sahsiah, sosial dan kemasyarakatan dengan menghayati keperibadian dan corak kepimpinan Tun Abdullah dalam pembangunan modal insan.

"Ia juga bagi mendokumentasikan kisah dan penceritaan atau pembicaraan mengenai sumbangan Tun Abdullah kepada negara melalui dasar serta polisi yang diamalkan dalam pentadbirannya untuk rujukan dan penyelidikan," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Ad Banner

Hanizah berkata Program Mengenang Negarawan yang juga signature programme  Arkib Negara sejak 2022 bagi mengangkat dan memartabatkan sumbangan, jasa serta pengorbanan tokoh negarawan itu menjadi program sisipan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025).

Beliau berkata majlis yang dijadual bermula pada 9 pagi itu akan menampilkan dua sesi utama, iaitu sesi bicara negarawan yang melibatkan beberapa tokoh pembicara termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Yusof Othman.

Sesi seterusnya “Kisah Ayahanda Saya” yang akan disampaikan oleh anak Pak Lah Nori Abdullah.

"Selain itu, terdapat pameran mengenai biografi, perjalanan politik, sumbangan dan jasa Tun Abdullah melalui paparan poster pameran dan artifak atau objek koleksi peribadi, memorabilia beliau yang terdapat dalam pemeliharaan Arkib Negara," katanya.

Menyentuh mengenai peranan Arkib Negara, beliau berkata agensi di bawah Kementerian Perpaduan Negara itu akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan dokumen, ucapan, dasar, sejarah dan nilai yang dibawa oleh Tun Abdullah terus hidup dalam lipatan sejarah dan denyut nadi rakyat.

Mengulas lanjut, Hanizah berkata ia akan dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif seperti program sejarah lisan, pameran bergerak, penerbitan dokumentari dan digitalisasi bahan arkib supaya segala legasi pemikiran, ketokohan, kepimpinan dan perpaduan yang dibawa oleh Tun Abdullah dapat terus disampaikan kepada generasi muda.

Bahan di Arkib Negara boleh diakses oleh penyelidik dan orang awam sama ada secara fizikal di dewan penyelidikan ibu pejabat atau negeri mahupun dalam talian melalui sistem Online Finding Aid (OFA) yang boleh dilayari 24 jam tanpa sempadan masa dan tempat.

Selain menyimpan bahan arkib, Arkib Negara juga bertanggungjawab memelihara dan memulihara bangunan dan rumah kelahiran serta koleksi berkaitan tokoh negarawan.

Tun Abdullah meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada 14 April lepas.

Dilahirkan pada 26 Nov 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Allahyarham ialah Ahli Parlimen Kepala Batas dari 1978 hingga 2013 dan Perdana Menteri dari 31 Okt 2003 hingga 3 April 2009, berikutan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” diadakan pada 16 Sept di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan acara pada 8.30 malam, yang akan turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan