Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kes Keracunan Makanan Seluruh Negara Turun 28.9 Peratus - Dzulkefly

13/09/2025 12:25 PM

BATU KAWAN, 13 Sept (Bernama) -- Komitmen Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memperkasakan kawalan keselamatan makanan di negara ini membuahkan hasil apabila kes keracunan makanan yang dilaporkan di seluruh negara menurun 28.9 peratus. 

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kes berkenaan berjaya diturunkan kepada 12,821 kes setakat Minggu Epidemiologi (ME) 36, iaitu dari 31 Ogos hingga 6 Sept 2025, berbanding 18,034 kes yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata jumlah kes wabak keracunan makanan turut mencatatkan penurunan iaitu 12 wabak pada ME36 berbanding 15 wabak pada minggu sebelumnya.

Ad Banner

"Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan satu daripada 10 orang jatuh sakit setiap tahun akibat penyakit bawaan makanan manakala lebih 200 penyakit di dunia adalah disebabkan oleh makanan yang tercemar. 

"Oleh itu, KKM komited memperkasakan kawalan keselamatan makanan di negara ini melalui pelbagai strategi dan intervensi," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan peserta acara Apron Walk 2025 di sini hari ini. 

Dzulkefly berkata strategi tersebut termasuk pelaksanaan aktiviti advokasi pendidikan kesihatan bersifat santai dan informatif bagi meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mengutamakan keselamatan makanan.  

Ad Banner

Beliau berkata inisiatif itu perlu memandangkan beban kos tahunan di seluruh dunia untuk rawatan penyakit bawaan makanan menjangkau RM60 bilion atau US$15 bilion setahun.

“Antara usaha KKM yang lain ialah pelaksanaan program pengiktirafan Bersih, Selamat, Sihat (BeSS) iaitu sebanyak 14,509 premis makanan di seluruh negara telah menerima pengiktirafan itu setakat Jun 2025,” katanya.

Mengenai Apron Walk 2025, katanya ia merupakan penganjuran kali ketiga selepas edisi lepas menerima sambutan menggalakkan. 

Acara itu disertai lebih 2,000 peserta selain pelbagai aktiviti promosi keselamatan makanan dijalankan sepert Kuiz Jalanan, Pameran Interaktif Keselamatan Makanan, Wellness on Wheel (WOW), Pertandingan Mewarna, saringan kesihatan percuma, gerai jualan makanan dan minuman serta cabutan bertuah. 

"Bertepatan dengan Sambutan Malaysia Sihat Sejahtera pada September dan Kempen ‘Sihat itu Saya’ oleh KKM, penganjuran Apron Walk 2025 ini dapat dilihat sebagai aktiviti yang menyokong amalan gaya hidup sihat di samping memperkasakan pengetahuan masyarakat tentang kepentingan aspek keselamatan makanan dalam kehidupan seharian," katanya. 

Acara itu dianjurkan sempena sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2025 bertemakan “Food Safety: Science in Action" (keselamatan makanan: sains bertindak). 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan