Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Silibus Baharu PALAPES Akan Diperkenal Tahun Depan - Panglima Angkatan Tentera

13/09/2025 06:00 PM

SERDANG, 13 Sept (Bernama) -- Silibus Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) akan dikaji semula bagi memberikan kefahaman yang lebih luas dan menyeluruh kepada pelatih mengenai isu-isu nasional serta global, kata Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

Beliau berkata langkah itu bukanlah rombakan menyeluruh, sebaliknya penambahbaikan untuk memastikan mahasiswa terlibat lebih bersedia melangkaui latihan teknikal khusus.

“Kita cuba membina kefahaman dalam kalangan mereka mengenai apa itu geopolitik dan apa itu diplomasi pertahanan.

Ad Banner

“Diharapkan apabila mereka keluar nanti, di mana sahaja mereka berada, mereka akan menjadi ejen yang mampu mendorong perubahan,” katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Pentauliahan Diraja PALAPES ke-43 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Mengenai kejayaan 1,927 pegawai kadet PALAPES, Mohd Nizam menyifatkan majlis itu sebagai satu kejayaan yang menzahirkan peranan PALAPES sebagai wadah tumpuan dalam melahirkan bakal pemimpin negara.

Beliau berkata PALAPES tidak pernah diwujudkan semata-mata sebagai saluran untuk membolehkan siswazah terus menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sambil menjelaskan secara purata hanya tujuh hingga lapan peratus kadet yang akhirnya menyertai perkhidmatan, manakala majoriti berkhidmat dalam sektor lain.

Ad Banner

“Mereka adalah pemangkin perubahan. Apa yang kita mahu ialah mereka dapat menyerlahkan potensi di luar (ketenteraan). Kita berharap PALAPES akan terus menjadi platform berkenaan untuk negara,” katanya.

Pada 8 Sept lepas, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dilaporkan berkata silibus PALAPES akan dikaji semula bagi memastikan modul latihan kekal relevan dengan keperluan semasa.

Beliau berkata Kementerian Pertahanan akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mengemas kini silibus serta modul latihan PALAPES.

PALAPES merupakan program latihan ketenteraan yang direka khas untuk mahasiswa, dengan tujuan melahirkan pegawai simpanan muda berdisiplin, berwawasan dan bersemangat patriotik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan