JOHOR BAHRU, 13 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan pimpinannya telah berjaya menghentikan budaya pemimpin menggunakan kuasa untuk merompak harta rakyat, sekali gus mengukuhkan asas tadbir urus negara.
Beliau berkata perubahan itu membuktikan pentadbiran kerajaan kini lebih berintegriti, meskipun berhadapan pelbagai kecaman dan persepsi negatif.
“Kalau orang tanya saya, selama hampir tiga tahun ini, budaya orang pegang kuasa untuk curi harta rakyat, kita dah hentikan.
“Ya, memang ada kes lama, tetapi yang penting (kini) semua ikut proses,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Program Rapat Umum 27 Tahun Reformasi Peringkat Negeri Johor di sini, hari ini.
Anwar berkata tidak ada sesiapa pun yang mempunyai hak untuk mengaut kekayaan rakyat secara salah, sama ada individu berpengaruh mahupun keluarga mereka.
“Mana-mana negara tak boleh selamat kalau orang besar guna kuasanya, dia kaya, isteri anaknya kaya, keluarganya kaya, itu yang kita hentikan,” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata dasar kerajaan jelas memihak kepada rakyat, terutama bagi memastikan golongan berpendapatan rendah mendapat manfaat secara terus.
Beliau berkata ini termasuklah langkah meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi kenaikan gaji penjawat awam dan kadar gaji minimum serta subsidi RON95.
“Dalam tiga tahun ini, gaji penjawat awam naik, tahun ini sahaja tambah RM10 bilion, tahun depan RM18 bilion. Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kita tambah (kepada) RM15 bilion. Subsidi minyak (RON95) pula rakyat hanya akan bayar RM1.99 seliter, kalau untuk bukan warganegara, ikut harga pasaran RM2.50 atau RM2.60.
“Orang miskin kita tambah duit, gaji pekerja naik. Gaji menteri kita potong 20 peratus. Masa kamu (pembangkang) dulu perintah, gaji minimum RM1,200, sekarang, belum cukup tiga tahun, kita naik kepada RM1,700,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata rakyat mesti menolak politik perkauman sempit yang boleh memecahbelahkan perpaduan di negara ini.
“Kita kena tolong orang Melayu, tapi bukan curi hak Melayu. Begitu juga dengan kaum India dan Cina, semua mesti dibantu. Mana ada negara boleh maju bila kaum gaduh? Tidak ada,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial