NIBONG TEBAL, 14 Sept (Bernama) -- Tiada sebarang laporan diterima setakat ini berkaitan penyalahgunaan MyKad bagi penebusan bantuan kewangan yang disalurkan kerajaan menerusi kad pengenalan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
“Ya, setakat ini tidak (ada sebarang laporan) dan pihak Kementerian Kewangan juga belum memaklumkan tentang apa-apa insiden seperti itu. Itulah sebab kenapa kerajaan waktu ini melihat MyKad adalah mekanisme yang baik untuk kita pastikan bantuan, terutama tunai atau pun pengesahan identiti warganegara itu dilakukan melalui MyKad.
“… itu antara pendorong kepada pemilihan MyKad untuk mekanisme bila dilaksanakan RON95 pada harga RM1.99 seliter. Jadi, maklumat lanjut mengenai perkara itu akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Bersama Aktifkan Kesukarelawanan Teras Inspirasi (BAKTI) Komuniti MADANI di Dataran Kuala Haji Ibrahim di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Julina Johan.
Terdahulu, Fahmi ketika berucap pada program itu berkata mekanisme penggunaan MyKad bagi bantuan serta subsidi adalah sangat efisien memandangkan kad pengenalan hanya dimiliki oleh rakyat Malaysia.
“Hanya rakyat Malaysia yang berhak untuk memegang MyKad… Jadi, (mana-mana bantuan) menggunakan MyKad, ia akan tuju terus, tidak ada berlaku penyelewengan, tidak ada ketirisan,” katanya.
Pada program sama, Fahmi menyempurnakan upacara peletakan batu asas di Laman Komuniti MADANI yang dibina hasil gotong-royong komuniti setempat selain turut meluangkan masa menyantuni lebih 200 ahli komuniti MADANI bagi daerah Seberang Perai Selatan.
Program BAKTI Komuniti MADANI anjuran JAPEN itu adalah kali pertama diadakan di Pulau Pinang dan bertujuan memperkukuh landskap kesukarelawanan dalam kalangan komuniti di samping menyemarakkan semangat kebersamaan dan perpaduan.
Program berkenaan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan sukan rakyat, pertandingan mewarna serta perkhidmatan komuniti seperti servis penukaran minyak hitam motosikal dan gunting rambut secara percuma.
Jualan Agro MADANI dan jualan usahawan tempatan turut diadakan pada program itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial