Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tiba Masanya Dunia Arab-Islam, Masyarakat Antarabangsa Bangkit Henti Keganasan Zionis - Anwar

14/09/2025 08:48 PM

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiba masanya dunia Arab-Islam dan masyarakat antarabangsa bangkit bersatu mempertahankan maruah, menghentikan keganasan dan menjamin keselamatan sejagat. 

Beliau yang berlepas ke Doha, Qatar untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam berkata serangan Israel ke atas Qatar jelas membuktikan bahawa kezaliman Zionis tidak terbatas. 

“Ia bukan sahaja menindas rakyat Palestin sejak puluhan tahun, malah kini mengancam kedaulatan negara-negara Arab dan Islam seluruhnya. Jika Qatar boleh diserang, maka tiada negara yang benar-benar selamat daripada ancaman mereka.

Ad Banner

“Serangan terhadap Qatar ini jelas membuktikan bahawa kezaliman Zionis tidak terbatas. Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan zalim ini,” kata Perdana Menteri menerusi perkongsian di Facebook yang disertakan beberapa gambar ketika beliau berlepas ke Doha, malam ini. 

Anwar akan menyampaikan Kenyataan Negara bagi menzahirkan solidariti Malaysia terhadap Qatar yang menjadi mangsa serangan rejim Zionis.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak akan tunduk, tidak goyah dan berdiam diri selagi penindasan itu berterusan, serta akan tetap berdiri bersama rakyat Palestin yang dizalimi.

Ad Banner

Terdahulu, pesawat khas yang membawa Perdana Menteri berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 7 malam.

Anwar menghadiri sidang kemuncak tergempar itu atas jemputan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani susulan serangan Israel terhadap negara itu pada 9 Sept lepas.

Serangan di kawasan Leqtaifiya yang melibatkan kira-kira 15 jet pejuang Zionis, mengorbankan enam orang termasuk anak kepada pemimpin kanan Hamas Khalil al-Hayya, pengarah pejabatnya serta seorang pegawai keselamatan Qatar, sementara pemimpin utama Hamas dilaporkan terselamat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan