Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Saintis Bimbang Status Terumbu Karang Negara, Syor Pewartaan 24 Kawasan Marin

15/09/2025 01:54 PM

Oleh Hasnah Jusid

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) – Persatuan Persatuan Sains Lautan Malaysia melalui rangka kerja Malaysia Important Marine Conservation Areas (MyIMCA) mengesyorkan 24 kawasan marin di seluruh negara untuk diuruskan dan diwartakan.

Presiden MSMS Affendi Yang Amri berkata empat kawasan empat kawasan, iaitu Pulau Jarak-Segari di Selat Melaka; Kuantan-Pekan di Pantai Timur Semenanjung; Beting Patinggi Ali dan Miri-Sibuti di perairan Sarawak; serta Kepulauan Layang-Layang di Sabah, dikenal pasti sebagai paling kritikal.

Ad Banner

“Lokasi-lokasi berkenaan menempatkan ekosistem unik seperti terumbu karang, paya bakau, penyu, ikan pari, ikan lumba-lumba, ikan paus, kuda laut dan ikan yu hammerhead yang amat memerlukan perlindungan segera,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Beliau yang juga pakar terumbu karang berkata syor itu susulan kebimbangan saintis terhadap status konservasi marin negara, dengan kurang 50 peratus daripada kira-kira 4,000 kilometer persegi terumbu karang Malaysia dipetakan secara terperinci setakat ini.

Pada masa ini, hanya sebahagian kecil kawasan telah diwartakan, antaranya Pulau Payar di Kedah serta beberapa pulau kecil di Melaka dan Negeri Sembilan, jumlah itu dianggap terlalu kecil bagi menjamin kelestarian biodiversiti marin negara.

Ad Banner

“Masih banyak kawasan yang belum diteroka, terutamanya di Selat Melaka, terumbu tenggelam di Kuantan dan perairan Laut China Selatan. Pewartaan kawasan ini amat penting untuk menjamin daya tahan ekosistem menghadapi perubahan iklim global,” katanya.

Affendi yang juga pegawai penyelidik di Institut Sains Samudera dan Bumi (IOES) Universiti Malaya berkata terumbu karang di Selat Melaka dipercayai mempunyai daya tahan tinggi terhadap kelunturan karang  dan berpotensi menjadi “refugia” global yang penting dalam menghadapi fenomena perubahan iklim.

Pemetaan terumbu karang di Malaysia kini menggunakan teknologi satelit, dron, sonar kapal, dron bawah air serta kaedah penyelaman skuba untuk mengukur kepelbagaian spesies. Kaedah fotogrametri turut diaplikasikan bagi menghasilkan peta 3D yang lebih terperinci.

Bagaimanapun, usaha itu berdepan cabaran termasuk keadaan air keruh di Selat Melaka, kedalaman laut di Laut China Selatan, kekurangan tenaga pakar, serta kos logistik dan peralatan yang tinggi.

Sehubungan dengan itu, persatuan menggesa kerajaan menyalurkan dana khusus untuk kerja-kerja pemetaan marin, meningkatkan latihan penyelidik tempatan serta memperkukuh kerjasama dengan institusi penyelidikan antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan