Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

QSR Brands Ulangi komitmen Pembangunan Negara Melalui Kempen Berteras Matlamat

16/09/2025 11:59 AM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, QSR Brands (M) Holdings Bhd, pengendali restoran KFC dan Pizza Hut mengulangi komitmen terhadap usahan pembinaan negara melalui keprihatinan, pendidikan dan pemerkasaan komuniti.

Menurut kenyataan QSR Brands, detik penting negara itu bukan sekadar catatan sejarah, sebaliknya nilai yang disemai serta dizahirkan dalam setiap sajian hidangan, setiap anak-anak yang dibantu dan setiap perencanaan masa hadapan. 

“QSR Brands bukan hanya menyumbang dari segi sosial, malah juga ekonomi. KFC dan Pizza Hut Malaysia merekodkan peningkatan hasil sebanyak 30 peratus pada separuh pertama tahun ini (1H2025).

Ad Banner

“Pertumbuhan ini didorong oleh kempen berteraskan matlamat, kecekapan operasi serta kepercayaan komuniti sekali gus mencerminkan kejayaan strategi transformasi syarikat,” menurut kenyataan itu hari ini.

Pertumbuhan berkenaan dipacu oleh pelaksanaan berfokus menerusi tiga tonggak strategik, iaitu transformasi perniagaan, inovasi digital dan penjajaran budaya.

QSR Brands kembali memperkukuh kehadiran dalam komuniti menerusi jenama ikoniknya dengan memperkemas operasi dan mengoptimumkan prestasi cawangan.

Ad Banner

“Usaha transformasi termasuk pelancaran menu baharu yang inovatif, pemasaran berfokus, pelaburan semula di lokasi berpotensi tinggi serta pembukaan semula cawangan yang sebelum ini ditutup, mula membuahkan hasil positif,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan QSR Brands Nehchal Khanna berkata keupayaan syarikat untuk terus konsisten biarpun dalam keadaan pasaran yang mencabar jelas membuktikan kekuatan kepimpinan dan pelaksanaan yang berdisiplin.

“Usaha transformasi itu bukan hanya mengukuhkan lagi kecekapan operasi, malah meningkatkan nilai penawaran kepada pelanggan selain menyemarakkan semangat warga kerja,” katanya.

Pada tahun ini, kempen ‘KFC Cara Kita’ menyemarakkan lagi semangat merdeka dengan menghasilkan 14 mural di 14 negeri, hasil tangan anak-anak seni tempatan bagi meraikan kepelbagaian yang terdapat di negara ini.

Menerusi kempen Sehati pula, QSR Brands menyalurkan sumbangan RM2 juta untuk menyediakan pakej makanan bulanan kepada 1,400 pelajar kurang berkemampuan di 28 sekolah seluruh negara, bagi memastikan setiap anak-anak menikmati makanan berkhasiat serta berpeluang untuk melakar kecemerlangan di sekolah.

Jamilah Mat Ripin, ibu kepada seorang penerima di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Takir, Terengganu, bersyukur dengan bantuan makanan itu kerana ia dapat meringankan perbelanjaan dapur sekali gus membantu anaknya dapat hadir ke sekolah setiap hari dan meningkatkan prestasi akademik. 

Seorang lagi penerima, iaitu Vera Johny, ibu kepada pelajar dari SK Kolombong Kota Kinabalu, Sabah, berkata program Sehati telah membantu meringankan beban keluarga. 

Syarikat itu juga melabur dalam Biasiswa KFC bernilai RM2.1 juta yang diberikan kepada 40 pelajar cemerlang dalam kalangan B40 untuk menyambung pengajian ijazah pertama di universiti awam.

Bagi Lim Ka Thong yang mengikuti jurusan perubatan veterinar di Universiti Malaysia Kelantan dia sungguh bersyukur kerana menjadi pelajar veterinar tunggal dalam kalangan penerima biasiswa itu.

“Pada ketika itu, sangat sukar untuk mendapatkan biasiswa yang mengiktiraf jurusan yang saya impikan. Menerusi kem latihan dan kursus pembangunan kemahiran insaniah, biasiswa KFC sentiasa menjadi pendorong untuk saya menyimpan impian dan mencapai kejayaan lebih besar,” katanya.

Menjelang sambutan Hari Malaysia, syarikat itu terus berdiri teguh bukan sahaja sebagai entiti korporat, malah sebagai rakan kongsi dalam kisah perjalanan Malaysia, sama ada melalui mural, makanan sehingga kepada penyediaan biasiswa selari dengan aspirasi negara.

“Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia kali ini bukan sekadar menghargai kemerdekaan, tetapi turut meraikan nilai kebersamaan. Kerana #CaraKita bukan sekadar pendekatan, ia cerminan siapa kita sebagai rakyat Malaysia yang berbangga,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan