Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pembinaan Semula Jambatan Kaiduan Ambil Kira Skop Ketahanan - Armizan

16/09/2025 03:09 PM

PAPAR, 16 Sept (Bernama) -- Kerajaan memberi komitmen penuh untuk membina semula struktur jambatan dasar (LLC) baharu di Kampuang Kaiduan di sini yang mengambil kira skop serta spesifikasi bersesuaian bagi menggantikan jambatan sedia ada.

Jambatan sedia ada di kampung itu runtuh dibawa arus deras susulan hujan berterusan melanda daerah berkenaan sejak Sabtu lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Ahli Parlimen Papar berkata pihaknya akan meninjau kawasan itu bersama agensi teknikal bagi menentukan bentuk penyelesaian sesuai mengambil kira risiko keadaan ekstrem di lapangan.

Ad Banner

Beliau berkata struktur LLC baharu dengan menerapkan aspek ketahanan binaan amat penting kerana menjadi jalan utama menghubungkan beberapa kampung termasuk Kampung Kaiduan dan Kampung Bisuang, selain memastikan aktiviti ekonomi serta pelancongan di kawasan terbabit berjalan seperti biasa demi manfaat penduduk.

"Jika dilihat pada waktu biasa arus deras di kawasan itu apatah lagi bila keadaan hujan lebat dan air pasang dari bahagian hulu yang akan menyebabkan risiko amat besar. Sejak sekian lama tiada binaan (jambatan) kekal dibuat di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat penduduk terjejas banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Lok Kawi Height di sini hari ini.

Ad Banner

Banjir kilat turut menyebabkan 12 jalan di Papar terputus hubungan, manakala enam jalan terjejas disebabkan cerun runtuh.

Sementara itu, Armizan berkata pihaknya menasihati keluarga mangsa tanah runtuh di Kampung Mook dan Kampung Marahang Tuntul untuk berpindah ke PPS atau rumah sewa buat sementara waktu bagi membolehkan penilaian risiko dibuat selain kerja-kerja pembaikan rumah dapat dilakukan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan 2,468 mangsa banjir daripada 656 keluarga berada di 19 PPS dan satu pusat pemindahan kekal (PPK) di Beaufort setakat 8 pagi.

Kejadian tanah runtuh yang berlaku sejak Jumaat lepas meragut 13 nyawa hingga hari ini, lima daripadanya melibatkan kejadian di Papar. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan