Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bekas Wartawan RTM Abdullah Hamzah Terima Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA

16/09/2025 04:46 PM

PASIR MAS, 16 Sept (Bernama) -- Pengamal media veteran Abdullah Hamzah, 71, yang juga bekas wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM), hari ini menerima sumbangan daripada Tabung Kasih@HAWANA di sini sebagai tanda penghargaan terhadap jasanya dalam bidang kewartawanan.

Abdullah yang berkhidmat lebih 30 tahun dalam dunia penyiaran dan kini menghidap penyakit gout, darah tinggi dan sakit jantung, menyifatkan sumbangan itu sebagai sokongan moral yang amat bermakna.

Beliau yang merupakan penerima ke-501 Tabung Kasih@HAWANA dan penerima ke-49 di Kelantan, menerima sumbangan daripada Ketua Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Kelantan, Muhammad Afiq Mohd Asri.

Ad Banner

“Terima kasih kepada semua pihak yang masih mengingati kami wartawan lama. Penghargaan seperti ini menunjukkan jasa kami tidak dilupakan walaupun sudah lama meninggalkan dunia penyiaran.

“Sumbangan ini bukan sahaja membantu dari segi keperluan, malah menjadi dorongan moral yang memberi semangat untuk saya terus kuat dan tabah menghadapi cabaran kesihatan,” katanya kepada Bernama di kediamannya di Chetok, di sini, hari ini.

Mengimbau perjalanan kariernya, Abdullah berkata minatnya terhadap dunia penyiaran bermula sejak remaja kerana ketika itu kampungnya belum memiliki televisyen justeru radio menjadi teman setia setiap malam.

Ad Banner

“Tidur pun dengan radio. Saya selalu dengar berita dan lagu hiburan, sebab itu masa sekolah saya mudah jawab soalan kuiz tentang isu antarabangsa,” katanya yang tinggal bersama isterinya, Naterah Awang Kechik, 72, dan mereka dikurniakan tiga anak.

Beliau memulakan kerjaya di RTM pada awal 1970-an termasuk berkhidmat 18 tahun di Angkasapuri dan 12 tahun di stesen negeri Kelantan.

Kenangan paling manis menurutnya adalah mengikuti rombongan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Pahang Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ke Mekah pada era 1980-an dan diberi peluang memasuki Kaabah bersama baginda yang disifatkan sebagai pengalaman tidak ternilai.

Abdullah turut kerap membuat liputan di Istana Negara serta pelbagai acara kenegaraan termasuk operasi berisiko menentang pengganas.

“Wartawan sekarang jauh lebih beruntung dengan kemudahan serba lengkap. Zaman kami kenderaan terhad dan kerja penuh cabaran, tetapi itu yang menjadikan pengalaman begitu bermakna,” katanya.

Tabung Kasih@HAWANA merupakan inisiatif yang mencerminkan semangat MADANI dalam mengangkat nilai ihsan dan keprihatinan, khususnya kepada pengamal media yang pernah menyumbang kepada masyarakat tetapi kini diuji cabaran hidup dan kesihatan.

Dilancarkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, tabung tersebut digerakkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan