BUTTERWORTH, 16 Sept (Bernama) -- Orang ramai terutama golongan belia diingatkan agar tidak leka dengan kemajuan teknologi digital sehingga menjadi mangsa penipuan dan maklumat palsu dalam era Internet pantas dan meluas hari ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kemerdekaan sebenar bukan sekadar diraikan secara simbolik pada Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM), tetapi perlu dihayati dengan kebijaksanaan dalam menghadapi cabaran semasa termasuk ancaman penipu (scammer) dan penyebar fitnah.
“Pada kala kita menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, kita berkata bahawa kita adalah bangsa yang merdeka. Tapi (ia) tidak bermakna kalau kita terus dijajah oleh scammer dan pemfitnah,” katanya dalam ucapan perasmian Program Jiwa Merdeka: Aspirasi Belia MADANI di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Ismail Yusop.
Sehubungan itu, Fahmi menyeru orang ramai agar lebih berwaspada ketika menggunakan Internet dan media sosial kerana tidak semua maklumat yang dilihat itu adalah benar.
Beliau turut mengingatkan golongan muda supaya tidak mudah percaya dengan kandungan tular yang disebarkan oleh pempengaruh di platform seperti TikTok, Facebook dan Instagram.
“Permintaan saya sila hati-hati. Bila kita membaca, menonton dan melihat perkara dalam media sosial belum tentu benda yang kita lihat itu betul atau benar belaka.
“Tidak pasti, jangan kongsi. Semak baru sebar. Saya sampaikan nasihat ini untuk anak-anak semua dan juga ibu bapa, orang dewasa supaya sentiasa berhati-hati dengan scammer,” katanya.
Program Jiwa Merdeka: Aspirasi Belia MADANI anjuran J-KOM Pulau Pinang itu menghimpunkan lebih 1,000 belia menerusi pelbagai pengisian bermanfaat seperti segmen penghayatan kenegaraan, e-sukan dan wacana ilmiah, selaras dengan sambutan Hari Malaysia 2025.
Dalam program itu, Fahmi turut menyampaikan Anugerah Pingat 77 Tahun Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi kategori Kepimpinan dan Sukarelawan selain sijil serta trofi penghargaan kepada para penerima dalam kategori sukan, kebudayaan dan keusahawanan.
Turut diadakan konvoi 200 motosikal yang membawa Jalur Gemilang, melibatkan golongan belia dari seluruh negara. Konvoi sejauh 6.1 kilometer itu bermula dari Stesen Minyak Petron Seberang Jaya dan berakhir di lokasi perasmian.
Kemuncak program ialah kejohanan e-sukan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM8,000 melibatkan pertandingan e-football melibatkan 128 pasukan di samping permainan PUBG, Mobile Legends dan Tekken dengan masing-masing disertai 64 pasukan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial