SEPANG, 18 Sept (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar hari ini menzahirkan keyakinan bahawa Belanjawan 2026 tidak akan mengecewakan rakyat Malaysia khususnya golongan penjawat awam.
"Belanjawan mesti ada berita baik... tapi rahsialah, tak boleh (dedah)... tapi yakin bahawa memang ada berita baik," katanya ketika ditanya tentang harapan terhadap Belanjawan 2026.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan kali keempat di sini hari ini.
Shamsul Azri juga berkata berita baik yang bakal diumumkan itu adalah manifestasi komitmen Kerajaan MADANI untuk terus menjadi kerajaan yang prihatin terhadap rakyat.
Belanjawan 2026, yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Okt ini, merupakan siri keempat Belanjawan MADANI yang dirangka untuk memulihkan daya tahan fiskal, memperkukuh asas ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Belanjawan kali ini akan terus menelusuri tiga tonggak utama Ekonomi MADANI iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, meningkatkan lantai taraf hidup rakyat dan memacu pembaharuan khususnya dalam tatakelola yang baik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial