Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

CAEXPO-22: Kerjasama Malaysia-China Jadi Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi Serantau - Fadillah

18/09/2025 01:48 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata beliau yakin kerjasama erat Malaysia dan China akan terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serantau yang inklusif, mapan serta berdaya saing.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata kedua-dua negara sudah lama menjalinkan hubungan persahabatan yang erat seiring dengan perkembangan semasa.

“Bidang kerjasama strategik wajar diperkukuh dan diperluas khususnya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital, teknologi kecerdasan buatan (AI), pertanian moden serta teknologi pintar dalam rawatan dan pengurusan air,” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Ad Banner

Beliau berkata demikian selepas berucap pada Majlis Perasmian Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-22 di Nanning, Guangxi, China semalam selain turut mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden China Han Zheng.

Fadillah juga berkata Malaysia komited dalam melaksanakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) sebagai kerangka utama peralihan tenaga hijau negara ke arah pencapaian sifar bersih karbon menjelang 2050.

“Pada masa sama, Malaysia turut memainkan peranan penting dalam merealisasikan agenda Grid Tenaga ASEAN bagi memperkukuh integrasi tenaga serantau, menjamin keselamatan tenaga dan memacu pembangunan mampan ASEAN,” katanya.

Ad Banner

Selasa lepas, Fadillah mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja ke China hingga 23 Sept ini.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan CAEXPO adalah sebuah platform perdagangan serta pelaburan serantau berprestij yang menghimpunkan pemimpin ASEAN dan China.

Sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI, Fadillah berkata lawatan itu juga melambangkan usaha negara untuk memainkan peranan lebih besar dalam kerangka kerjasama ASEAN-China dan kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik yang proaktif, inklusif serta berdaya tahan di peringkat serantau dan global. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan