MELAKA, 18 Sept (Bernama) -- Kerajaan Melaka kini sedang merangka beberapa program utama bagi membolehkan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menceburi bidang keusahawanan, seterusnya berupaya menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan lain.
Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata langkah itu dijangka bukan sahaja memperkukuh ekosistem usahawan muda tetapi meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET melalui kesan penggandaan.
“Selain memastikan graduan berpeluang mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian, kami mahu melahirkan lebih ramai usahawan TVET dan apabila mereka berjaya dalam perniagaan, secara tidak langsung mereka juga boleh menggaji graduan lain untuk bekerja dengan mereka.
“Jika seorang usahawan TVET mampu menggaji sekurang-kurangnya 10 pekerja, kesan penggandaan ini sangat besar dan mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET di Melaka,” katanya ketika ditemui di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Sesi Libat Urus Awam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Program Libat Urus Awam anjuran Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA) Universiti Malaya (UM).
Khaidhirah berkata usaha itu dilaksanakan selepas Melaka menerima peruntukan RM10 juta daripada kerajaan Persekutuan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Hari TVET Negara sebelum ini.
Beliau berkata beberapa sektor dikenal pasti berpotensi dijadikan bidang keusahawanan TVET termasuk perkhidmatan perhotelan, katering dan kulinari, pastri, kesihatan dan kecantikan seperti rawatan berpantang serta bekam, selain elektrik dan elektronik dan automotif.
“Bagi graduan yang telah mempunyai perniagaan, kami akan sediakan beberapa pakej khas untuk membantu mereka mengembangkan operasi.
“Kesemua program ini sedang diperhalusi dan akan diumumkan serta dilaksanakan bermula tahun depan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial