TAIPING, 18 Sept (Bernama) -- Karnival Industri dan Teknologi Semikonduktor (KITES) 2025 memperkukuh ekosistem Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam melahirkan tenaga berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri semikonduktor negara.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata karnival itu juga memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan industri berkenaan dalam ekonomi digital dan hala tuju masa depan teknologi.
“Karnival ini juga menjadi platform memperkukuh kolaborasi strategik antara pemain industri dengan institusi TVET, selain menarik minat generasi muda untuk menceburi bidang berteknologi tinggi yang menjanjikan prospek kerjaya luas serta pendapatan kompetitif,” katanya ketika berucap merasmikan KITES 2025 anjuran Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) Jabatan Tenaga Malaysia (JTM) Taiping di sini hari ini.
Turut berlangsung peluncuran Akademi Teknologi Semikonduktor-Jabatan Tenaga Manusia (STAc-JTM) iaitu inisiatif strategik yang menyokong Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Dasar TVET Negara 2030 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) bagi membangunkan industri bernilai tinggi.
Sim berkata STAc-JTM akan menjadi platform utama melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dan kompetitif khususnya bagi menyokong keperluan industri berteknologi tinggi yang pesat berkembang.
“Tiga bulan yang lalu, saya telah pergi ke Geneva, Switzerland dan ketika itu saya telah melawat pejabat Forum Ekonomi Dunia (WEF) dan untuk makluman rakan-rakan kita WEF telah menamakan Malaysia sebagai satu hab semikonduktor dunia.
“Kita menyumbang lebih kurang 13 peratus dari segi industri pembuatan semikonduktor back-end seluruh dunia dan lebih kurang 7 peratus perdagangan semikonduktor antarabangsa.
"Maksudnya Malaysia merupakan antara pemain yang cukup penting dalam sektor ini dan kerajaan mengiktirafkan bahawa industri semikonduktor memang merupakan industri strategik,” katanya.
Dalam pada itu, turut berlangsung pertukaran dokumen kerjasama antara ADTEC Taiping dengan tujuh rakan strategik industri termasuk Micron Memory Malaysia, Penang Skills Development Centre (PSDC), Vitrox Technologies dan Kulim Advanced Technologies (KTECHNO).
Pertukaran dokumen kerjasama itu dilihat membuka lebih banyak peluang latihan, pemindahan teknologi dan penempatan pekerjaan kepada pelajar TVET.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial