Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MPU Instrumen Strategik Lahirkan Siswazah Malaysia MADANI

20/09/2025 11:57 AM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Persidangan Meja Bulat Kebangsaan anjuran Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di sini baru-baru ini merumuskan bahawa Mata Pelajaran Umum (MPU) perlu dilihat sebagai instrumen strategik dalam melahirkan siswazah Malaysia MADANI yang inklusif, berintegriti dan berdaya saing.

Persidangan bertemakan “Pendidikan Insaniah: Pemacu Negara Bangsa MADANI” yang menghimpunkan pakar akademik daripada 18 Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) di seluruh negara, turut merumuskan bahawa sinergi antara Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan IPTS, kerajaan serta masyarakat amat penting untuk memperkukuh pelaksanaan pendidikan insaniah secara menyeluruh.

UPTM dalam kenyataan memaklumkan rumusan atau resolusi yang dihasilkan daripada Persidangan Meja Bulat Kebangsaan itu akan diketengahkan sehingga peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi.

Ad Banner

“Langkah ini mencerminkan kesungguhan UPTM dalam memperkukuh peranan MPU, selain menjadi platform memperjuangkan suara serta kepentingan para pendidik dalam bidang berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Naib Canselor UPTM Prof Madya Dr Sharifah Syahirah Sy Shiekh dalam ucapan alu-aluannya berkata pendidikan insaniah penting dalam melahirkan siswazah berdaya saing yang beretika, berintegriti dan memiliki jati diri sebagai warga Malaysia.

“MPU merupakan satu platform utama pendidikan insaniah dalam memastikan agenda Malaysia MADANI dan status negara maju tercapai,” katanya dalam kenyataan itu, sambil menegaskan komitmen UPTM untuk terus memperkukuh agenda pendidikan insaniah.

Ad Banner

Dalam kenyataan sama, Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata MPU tidak harus dilihat sebagai subjek sampingan, sebaliknya menjadi wahana menyemai kefahaman sejarah, identiti nasional dan perpaduan.

"Pengukuhan MPU di institusi pendidikan tinggi seiring dengan transformasi digital dan perubahan sosial semasa amat penting bagi memastikan graduan negara bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga mempunyai jati diri, nilai moral dan kesedaran sivik yang tinggi,” katanya.

Persidangan meja bulat itu turut membincangkan pemerkasaan MPU di IPTS melalui inovasi pedagogi, integrasi teknologi digital dan penilaian berstandard tinggi selain diakhiri dengan perbincangan kumpulan fokus, Gallery Walk, yang menampilkan hasil penyelidikan, inovasi dan amalan terbaik berkaitan pendidikan insaniah.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan