Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sirkit Regata Bakal Perkukuh Ekonomi Dan Perpaduan Rakyat Sarawak

20/09/2025 03:33 PM

KUCHING, 20 Sept (Bernama) -- Kerajaan Sarawak mempertimbang untuk menganjurkan Sirkit Regata sebagai pendekatan baharu bagi menyelaras pelaksanaan acara lumba regata di negeri ini yang semakin berkembang sebagai sukan air rakyat pelbagai kaum.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata cadangan penambahbaikan penganjuran sukan berkenaan di seluruh negeri ini bukan sahaja akan mengeratkan hubungan sesama masyarakat, malah memperkasakan ekonomi tempatan. 

“(Penganjuran) Regatta Circuit bermakna tempat-tempat yang menganjurkan regata hendaklah kita bantu menerusi satu pendekatan yang baharu. 

Ad Banner

“Regata bukan sahaja merapatkan silaturahim masyarakat berbilang kaum dan agama, malah setiap kali temasya ini diadakan ia turut menjana kegiatan ekonomi tempatan yang memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Benak Sri Aman 2025 di Tebingan Sri Aman, hari ini.

Abang Johari berkata Sirkit Regata berpotensi menjadi sebahagian daripada suntikan ekonomi negeri, dengan kerajaan akan menilai semula sokongan belanjawan agar acara berimpak itu dapat dilaksanakan secara berterusan.

Beliau berkata dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, sukan regata dilihat semakin mendapat perhatian dengan penganjuran di beberapa kawasan seluruh negeri termasuk Tatau, Gedong, Sebuyau dan Sri Aman. 

Ad Banner

“Oleh itu, belanjawan tahun baru (2026) kita terpaksa ubah suai disebabkan oleh penganjuran Sirkit Regata ini adalah sesuatu yang unik dan hanya ada di Sarawak,” katanya.

Selain penganjuran acara budaya dan sukan air, Abang Johari berkata kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan prasarana di kawasan Simanggang, antaranya pembinaan Jambatan Batang Lupar 2, jambatan ikonik yang akan menghubungkan Sri Aman dengan Betong, Lingga dan Sebuyau.

Jambatan berkenaan yang dijangka siap pada suku pertama 2026 bakal menjadi jambatan kabel tertinggi di Malaysia, dengan ketinggian mencapai 145.5 meter dan panjang 870 meter.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan