Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

SICTA Digesa Bantu Sarawak Capai Aspirasi PCDS 2030

21/09/2025 12:40 PM

SIBU, 21 Sept (Bernama) -- Persatuan ICT Sarawak (SICTA) digesa memainkan peranan lebih besar dalam membantu Sarawak mencapai aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk menjadi sebuah wilayah maju dan berpendapatan tinggi.

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata peranan SICTA kini semakin penting, khususnya dalam memperluas infrastruktur digital.

Beliau berkata SICTA juga boleh membantu aspek pembangunan modal insan dengan mempertingkat kemahiran belia serta tenaga kerja dalam bidang seperti teknologi kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber.

Ad Banner

“Dalam memupuk ekosistem inovasi, SICTA boleh membantu syarikat pemula (startup), menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta menyediakan platform penyelesaian tempatan dalam sektor keutamaan seperti pertanian, perhutanan, kesihatan dan lain-lain.

“Sumbangan ini akan memastikan SICTA bukan sahaja meraikan pencapaian lalu, tetapi turut membentuk masa depan Sarawak sejajar dengan aspirasi menjelang 2030,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-25 SICTA di sini malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata kementeriannya komited bekerjasama dengan pemain industri seperti SICTA bagi membangunkan bakat digital, meluaskan inklusi digital ke kawasan luar bandar dan terpencil, serta membina ekosistem inovasi tempatan yang berdaya saing di peringkat global.

Ad Banner

“Marilah kita bersama-sama memastikan Sarawak bukan sahaja menjadi sebahagian daripada transformasi digital Malaysia, tetapi juga peneraju dalam mempamerkan bagaimana bandar pintar berpusatkan rakyat dan dikuasakan AI boleh dibina,” katanya.

Wilson berkata sejak lebih dua dekad lalu, SICTA telah berkembang menjadi suara kuat yang mewakili lebih 350 firma ahli dengan lebih 3,000 pekerja di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu, sekali gus memberi sumbangan besar kepada komuniti serta masyarakat Sarawak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan