Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Penyakit Jantung Masih Jadi Ancaman Utama Di Malaysia - Dr Ismuni

21/09/2025 06:21 PM

LABUAN, 21 Sept (Bernama) -- Penyakit jantung kekal sebagai ancaman serius di negara ini kerana penyakit itu masih menjadi punca utama kematian yang boleh dicegah, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Ismuni Bohari.

Beliau berkata statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2024 menunjukkan penyakit jantung iskemik merupakan penyebab kedua tertinggi dalam kematian yang disahkan secara perubatan, iaitu sebanyak 15.1 peratus dan menjadi punca utama kematian dalam kalangan individu berusia 41 hingga 59 tahun, manakala lelaki lebih terjejas berbanding wanita.

"Trend ini membimbangkan kerana bukan hanya menjejaskan kesihatan, tetapi juga memberikan impak kepada ekonomi negara," katanya pada program Hari Jantung Sedunia di sini hari ini.

Ad Banner

Dr Ismuni berkata diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan tekanan berpanjangan ialah penyumbang utama kepada penyakit jantung selain faktor merokok, obesiti, gaya hidup tidak aktif dan tabiat pemakanan tidak sihat.

Beliau berkata Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 melaporkan bahawa 15.6 peratus dewasa menghidap diabetes, hipertensi (29.2 peratus), kolesterol tinggi (33.3 peratus), obesiti (21.8 peratus) dan merokok (19 peratus).

"Setakat Ogos lepas, Labuan merekodkan 93 kes kardiovaskular baharu dan 1,388 pesakit sedang menerima rawatan penyakit jantung.

Ad Banner

"Angka ini adalah amaran untuk kita mengambil langkah pencegahan sebelum terlambat," katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup sihat, menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala dan menyertai aktiviti kesedaran.

Dr Ismuni berkata sebanyak 3,877 penduduk di Labuan telah melakukan pemeriksaan kesihatan setakat bulan lepas.

"Hari Jantung Sedunia tahun ini bertemakan Don't Miss a Beat, menyeru rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan tabiat pemakanan lebih sihat demi melindungi jantung mereka," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan