Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam Kini Tumpu Hasil Nyata Kepada Rakyat

22/09/2025 04:09 PM

PUTRAJAYA, 22 Sept (Bernama) -- Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) kini memasuki fasa penting pelaksanaan, iaitu kejayaan tidak lagi diukur melalui pelancaran inisiatif semata-mata, tetapi pada hasil nyata yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat.

Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu antara yang ditegaskan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam Mesyuarat STAR Bilangan 8 Tahun 2025 yang berlangsung pada hari ini.

Menurut STAR, Shamsul Azri turut menekankan kejayaan awal seperti Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang telah menjana penjimatan kos hampir RM1.1 bilion sebagai bukti bahawa reformasi mampu menghasilkan impak besar sekiranya dilaksanakan dengan tuntas dan berfokus kepada hasil.

Ad Banner

“Mesyuarat kali ini memberikan tumpuan kepada status semasa pelaksanaan projek STAR serta beberapa kertas penting. Turut dibentangkan ialah cadangan pelaksanaan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) oleh Institut Integriti Malaysia, yang bakal menjadi instrumen baharu dalam memperkukuh tatakelola, integriti dan akauntabiliti sektor awam.

“Mesyuarat turut meneliti laporan Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) Suku Kedua 2025 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam yang menjadi kayu ukur objektif dalam menilai keberkesanan prestasi agensi kerajaan secara menyeluruh,” menurut STAR.

Selain itu, pembentangan berkaitan dengan persediaan menghadapi Monsun Timur Laut 2025/2026 oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) turut diberi perhatian dengan penekanan kepada keperluan koordinasi rentas agensi bagi memastikan kesiapsiagaan negara menghadapi bencana alam dapat dipertingkatkan secara menyeluruh.

Ad Banner

Mesyuarat STAR itu juga diserikan dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Fotografi dan Kapsyen Menarik Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam yang dianjurkan bersempena dengan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) 2025, bertujuan memupuk kreativiti serta memperkukuh keterlibatan warga perkhidmatan awam dalam mendukung pelaksanaan ARPA.

Shamsul Azri turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang, iaitu juara yang diraih Pembantu Tadbir Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Nor Suhaida Juhari, tempat kedua dimenangi Pembantu Tadbir Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Tadzman Utuh Tang manakala tempat ketiga dirangkul Muhammad Danish Asfa Zairol, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, Perak.

Mesyuarat juga mengiktiraf lima kementerian yang berjaya melaksanakan projek RKB, iaitu Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Luar, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kerja Raya.

Menurut kenyataan itu, kerajaan menerusi STAR akan terus memberikan penekanan terhadap agenda produktiviti negara dan penyelesaian isu struktural yang menghalang tatakelola baik serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.

“Setiap inisiatif dan keputusan yang dibawa melalui STAR dirancang dengan teliti bagi memastikan impaknya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat, seiring dengan semangat whole of government dan society approach yang menjadi teras Malaysia MADANI,” menurut STAR.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan