Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pertandingan Debat Pacu Kemenjadian Murid - Fadhlina

22/09/2025 05:09 PM

PUTRAJAYA, 22 Sept (Bernama) -- Pertandingan debat bukan sekadar pentas pengucapan, sebaliknya menjadi wadah penting dalam melahirkan kemenjadian murid melalui pemantapan potensi, keyakinan diri serta penguasaan bahasa yang baik, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata penganjuran Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2025, yang berlangsung bersempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan sempena Dekad Bahasa Kebangsaan Kementerian Pendidikan (KPM) 2025, membuktikan kemampuan generasi muda menguasai bahasa Melayu secara berkesan dan berwibawa.

“Anak-anak ini telah menunjukkan komitmen yang sangat luar biasa dan pastinya potensi dan juga kemenjadian yang sangat saya bangga. Sampai hari ini, saya sangat bangga dengan anak-anak ini,” katanya ketika merasmikan majlis Sambutan Bulan Bahasa Bersempena Dekad Bahasa Kebangsaan KPM 2025 dan PETAH KPM 2025 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Ad Banner

Mengenai PETAH KPM, Fadhlina berkata setiap komponen dalam akronim PETAH membawa peranan penting iaitu Pengucapan Bertatasusila, Ekspresi Kreatif, Tata Bahasa Gramatis, Artikulasi Sempurna dan Hujah Bernas, yang menjadi asas kepada penguasaan bahasa serta kemahiran komunikasi murid.

Fadhlina berkata penganjuran program seumpama itu, selaras dengan iltizam KPM dan Kerajaan MADANI untuk memperkasakan bahasa kebangsaan sekali gus membentuk generasi MADANI yang berilmu, berdaya saing dan mempunyai kepimpinan.

Sementara itu Fadhlina ketika sidang media berkata PETAH akan diteruskan sebagai agenda tahunan KPM dan Akademi Bahas MADANI yang ditubuhkan secara berperingkat di semua Sekolah Berasrama Penuh (SBP), akan diperluas bagi memberi lebih banyak peluang penyertaan murid di seluruh negara.

Ad Banner

Beliau berkata Akademi Bahas MADANI akan berperanan sebagai platform latihan berstruktur, untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam bidang debat, pidato dan pengucapan awam, seiring usaha membina daya kepimpinan dan pemikiran kritis generasi muda.

Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atas kerjasama strategik dalam menjayakan program itu, yang menjadi landasan penting memperkukuh martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan.

Beliau pada masa sama menzahirkan ucapan tahniah kepada semua peserta dan berharap momentum tersebut ditingkatkan peserta lain pada edisi yang akan datang.

Sementara itu, pasukan dari Sabah yang yang terdiri daripada enam pelajar perempuan selaku johan Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2025, menyifatkan kemenangan itu sebagai sebagai sesuatu yang di luar jangkaan.

Noraeezma Mada Ali Joharie, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau berkata kejayaan itu, merupakan hasil usaha gigih anggota pasukan dan bimbingan daripada guru serta jurulatih.

“Ini satu kemenangan yang kami tidak sangkakan, sebab pada peringkat awal kami rasa kami hanya mampu sampai ke peringkat separuh akhir sahaja tetapi rezeki Tuhan kami layak masuk sehingga ke peringkat akhir.

“Sebenarnya persiapan kami banyak kekangan, tambahan pula baru-baru ini Sabah mengalami black-out. Kami susah untuk berlatih tetapi saya bersyukur sebab saya ada pasukan yang baik, saya ada guru dan jurulatih yang baik dan sangat hebat dalam melatih kami hingga melayakkan kami untuk menang hari ini,” katanya.

Mengenai strategi, beliau berkata pasukannya mengutamakan cara pembuatan konsep dan penyampaian hujah, kerana yakin bahawa hujah yang kukuh menjadi kekuatan setiap pembentangan bagi meyakinkan barisan hakim.

Pasukan itu turut disertai tiga pelajar lain dari SMK Tawau iaitu Anas Humairah Suwardi, 15, Anis Malaeka Husni, 15, dan Nur Safa Natasya Aaharuddin, 15.

Dua pelajar lain yang masing-masing berusia 16 tahun merupakan pelajar dari SM Sains Sabah iaitu Nur Aisyah Jasrin dan Siti Ellysha Jaimis.

Pasukan itu membawa pulang piala iringan dan piala pusingan serta cek cura bernilai RM12,000 yang ditaja oleh DBP.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan