Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

NADI Parit Yaani Mudahkan Urusan Penduduk Luar Bandar

22/09/2025 07:48 PM

BATU PAHAT, 22 Sept (Bernama) -- Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, yang beroperasi di Kompleks Penghulu Mukim 6 Linau sejak Februari lepas, memudahkan urusan harian penduduk kampung di sekitar kawasan berkenaan.

Seorang pekebun dari Kampung Parit Suratman, Irwan A Rahman, 44, berkata beliau menjadi pengguna tetap pusat itu bagi mendapatkan maklumat terkini khususnya berkaitan sektor pertanian dan mengurus pelbagai borang dalam talian.

“Ia cukup memudahkan bagi kami yang tinggal di luar bandar…ada kalanya capaian Internet di rumah agak terhad dan pusat inilah (NADI) menjadi lokasi saya menggunakan Internet,” katanya ketika ditemui Bernama, hari ini.

Ad Banner

Bagi pekerja swasta Nur Aina Ezzati Ismadi, 20, NADI dilihat sebagai platform penting dalam merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar.

Katanya, kemudahan Internet yang disediakan di pusat itu membantunya melaksanakan pelbagai urusan termasuk permohonan program kerajaan.

“Saya agak kerap juga ke sini dan ia agak membantu, antaranya ketika saya melakukan permohonan program Sejati MADANI. Ia memudahkan masyarakat luar bandar seperti kami,” katanya.

Sementara itu, Pengurus NADI Parit Yaani Noor Ashikien A R Azman berkata pusat itu bukan sahaja menyediakan akses Internet, malah turut menjadi lokasi pelaksanaan pelbagai program melibatkan semua peringkat umur.

“Antara aktiviti mingguan yang dijalankan ialah Kursus Mahir Masak, Mahir Foto, Mahir Baiki Gajet, Mahir Jahit dan Mahir Pertanian, selain penduduk juga boleh menjalani saringan kesihatan asas.

“Bagi golongan pelajar, tuisyen turut disediakan termasuk kelas Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Sains, Matematik dan Pengajian Am, manakala pelajar sekolah rendah terlibat dalam program usahawan cilik serta robotik.

“Untuk pelajar sekolah menengah pula, kami menyediakan aktiviti berkaitan teknologi maklumat seperti pembinaan laman sesawang dan bahasa pengaturcaraan komputer,” katanya.

Tambahnya, program terbaharu yang diperkenalkan ialah Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan celik digital penduduk luar bandar selain memberikan kesedaran mengenai langkah pencegahan agar tidak menjadi mangsa penipuan dalam talian.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan