Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Penduduk PPR Seri Cempaka Trauma Angin Kuat Umpama Puting Beliung

22/09/2025 11:05 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka di Lembah Pantai di sini trauma selepas berdepan ribut kuat yang melanda beberapa kawasan di sekitar ibu negara petang tadi. 

Sharifuddin Mohd Fahmi, 35, yang tinggal di Blok A sejak 15 tahun lepas, berkata dia berada di pejabat persatuan belia PPR berkenaan bersama empat rakannya ketika tiba-tiba hujan lebat dan angin kencang sebelum kedengaran dentuman kuat.

“Kami keluar dan tengok keadaan memang kelam-kabut. Angin sangat kuat, melibas kereta yang ada. Ada orang sempat keluar dari kereta, ada juga yang tidak. 

Ad Banner

“Khemah pun terangkat, motosikal yang diletakkan di tempat parkir pun bergoyang,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian. 

Seorang lagi penduduk, Noorliyah Baharudin, 34, mengakui masih menggigil mengenang detik cemas itu.

Ibu kepada tiga anak itu berkata ketika kejadian dia baru tiba di pekarangan tempat letak kereta dan segera berlari ke rumahnya di Blok F selepas menyedari angin semakin kuat.

“Memang nampak kayu bumbung jatuh kena beberapa kereta di bawah. Kereta saya sendiri habis pecah, cermin depan, belakang, cermin sisi tercabut, bumbung kemek. Masa tu saya hanya mampu mengucap sebab angin sangat kuat, macam puting beliung,” katanya.

Noorliyah bersyukur kerana terselamat namun buntu memikirkan kerugian, termasuk sofa basah dan kereta rosak tanpa insurans.

“Sekarang kena fikir nak bergerak guna motorsikal untuk hantar anak-anak ke sekolah kerana satu-satunya kereta yang ada dah rosak. Harap ada bantuan daripada pihak Ahli Parlimen untuk ringankan beban kami,” katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil  yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai selepas melawat PPR berkenaan berkata sumbangan awal RM5,000 kepada setiap keluarga yang terjejas akan disalurkan, termasuk keperluan asas seperti toto, bantal dan selimut selain memastikan semua keperluan sekolah yang rosak diganti segera.

Beliau berkata tinjauan awal pihaknya mendapati sekurang-kurangnya empat unit rumah mengalami kerosakan serius apabila bumbung diterbangkan angin, manakala sejumlah unit lain berlaku kebocoran akibat struktur terjejas selain 30 kenderaan dilaporkan rosak akibat dihempap serpihan bumbung,

Fahmi berkata penduduk di empat unit rumah berkenaan akan dipindahkan serta-merta ke unit kosong dalam blok sama dengan bantuan pertubuhan belia.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan