Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PM Anwar Zahir Doa Tulus Iringi Misi Global Sumud Flotilla

22/09/2025 11:46 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan doa tulus daripada seluruh masyarakat bagi mengiringi pelayaran misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Beliau berkata usaha GSF itu diharap dapat menjadi sinar harapan kepada rakyat Gaza yang sedang diuji.

"Semoga usaha ini menjadi sinar harapan buat rakyat Gaza yang sedang diuji dan menjadi saksi kepada kesatuan nurani kemanusiaan sejagat," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ad Banner

Menerusi hantaran itu, Anwar menyertakan video berdurasi 51 saat ketika beliau menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha pada 15 Sept lepas.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata flotila itu tidak membawa senjata sebaliknya menjanjikan bantuan untuk rakyat Gaza yang dikepung. 

"Ia adalah misi kemanusiaan, dan kita mesti melakukan semua dalam kuasa kita untuk melihat bahawa ia sampai ke pantainya (Gaza). Membiarkannya kembali dengan keganasan adalah mengkhianati tuntutan hati nurani kita: untuk membela yang lemah, untuk melindungi orang yang tertindas, untuk memberikan makanan kepada yang lapar," katanya.

Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadual tiba di perairan Gaza akhir bulan ini, membabitkan lebih 1,000 sukarelawan menaiki hampir 70 bot dengan satu matlamat iaitu memecah kepungan terhadap Gaza. 

GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah dengan semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan serta peranan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis Gaza.

Semua sukarelawan dari Malaysia bernaung di bawah panji Sumud Nusantara diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Anwar merupakan penaung Sumud Nusantara melibatkan Malaysia, Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Filipina dan Thailand.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan