Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Batik Air Lancar Laluan Singapura-Pulau Pinang, HK Express Tambah Penerbangan

23/09/2025 02:12 PM

GEORGE TOWN, 23 Sept (Bernama) -- Pulau Pinang dijangka menerima peningkatan pelancong antarabangsa susulan pengumuman Batik Air dan HK Express untuk memperluaskan rangkaian penerbangan ke negeri itu dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi negeri Wong Hon Wai berkata Batik Air akan melancarkan penerbangan terus antara Singapura dan Pulau Pinang pada Disember ini, sekali gus memberi lonjakan signifikan kepada sektor pelancongan negeri.

“Singapura merupakan antara tiga pasaran utama pelancongan Pulau Pinang sejak sekian lama. Dengan kekuatan dolar Singapura, pelancong dari republik itu lazimnya mempunyai kuasa perbelanjaan tinggi, justeru, mereka memainkan peranan penting bukan sahaja dari segi jumlah ketibaan malah kuasa membeli.

Ad Banner

“Oleh itu, pelancaran laluan terus Singapura-Pulau Pinang oleh Batik Air akan memberi satu lagi pilihan penerbangan terus kepada pelancong dari Singapura, sekali gus memudahkan perjalanan mereka bagi tujuan pelancongan, pelaburan dan rekreasi, serta merancakkan lagi ekonomi pelancongan Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Wong turut mengalu-alukan langkah HK Express menambah kekerapan penerbangan laluan Hong Kong-Pulau Pinang daripada sekali sehari kepada dua kali sehari bermula 26 Okt depan.

Beliau berkata Singapura dan Hong Kong merupakan antara hab penerbangan global utama, dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong menduduki tangga kesembilan dunia bagi jumlah trafik penumpang keseluruhan, manakala Lapangan Terbang Changi, Singapura berada di tempat ke-15 bagi jumlah trafik penumbang antarabangsa, berdasarkan data Maljlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) 2024.

Wong berkata Pulau Pinang akan meraih manfaat daripada pendedahan antarabangsa manakala laluan baharu bukan sahaja memudahkan akses pelancongan dari Hong Kong dan Singapura, tetapi turut memperkukuh rangkaian keterhubungan global ke negeri itu menerusi inisiatif keterhubungan itu.

“Tambahan penerbangan oleh Batik Air dan HK Express akan mengukuhkan kedudukan Lapangan Antarabangsa Pulau Pinang dalam rangkaian laluan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata laluan baharu itu juga melambangkan hubungan lebih erat antara Pulau Pinang dengan Hong Kong dan Singapura.

“Ia juga dijangka membuka banyak peluang perniagaan kepada pengusaha pelancongan dna perusahaan kecil dan sederhan (PKS) di Pulau Pinang.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan