Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Lebih 254,000 Dewasa Di Malaysia Alami Obesiti

23/09/2025 04:35 PM

KUALA LUMPUR, Sept 23 (Bernama) -- Lebih 254,000 golongan dewasa Malaysia dikenal pasti mengalami obesiti menerusi Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata daripada 1.2 juta dewasan yang menjalani saringan di seluruh negara setakat September tahun ini, sebanyak 30.9 peratus didapati obes dan 30.8 peratus lagi berlebihan berat badan.

“Ini adalah satu isyarat kepada kita. Obesiti bukan sekadar isu gaya hidup, tetapi juga cabaran kesihatan awam yang mendesak serta memerlukan pengesanan awal, intervensi dan perubahan persepsi masyarakat,” katanya pada majlis penutup Kempen Kesedaran Obesiti My Best Me di sini hari ini.

Ad Banner

Beliau berkata Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023 mendapati 54.4 peratus dewasa di Malaysia mengalami berlebihan berat badan atau obes, menunjukkan 22 peratus sejak 2011.

“Individu dengan obesiti berdepan risiko lebih tinggi menghidap diabetes, penyakit kardiovaskular, strok dan kanser, yang menyumbang lebih 70 peratus kematian di Malaysia,” katanya.

“Selain memberi kesan kepada kesihatan, obesiti turut membawa impak besar terhadap ekonomi apabila negara menanggung kerugian lebih RM64 bilion setahun melalui perbelanjaan kesihatan, kehilangan produktiviti dan kematian pramatang,” katanya.

Dzulkefly turut menekankan kepentingan menghentikan stigma terhadap obesiti, dengan menjelaskan bahawa mereka yang mengalami obesiti sering dianggap kurang berdisiplin, sedangkan hakikatnya mereka berdepan masalah kesihatan sebenar.

“Naratif mengenai obesiti perlu berubah daripada menyalahkan kepada memahami, dan daripada menghukum kepada menyokong, agar mereka yang terkesan menerima maklumat tepat, rawatan segera serta layanan penuh belas kasihan,” katanya.

Sementara itu, Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkenalkan pengurusan klinikal obesiti secara bersepadu di peringkat penjagaan kesihatan primer, bermula dengan 10 klinik kesihatan dan diperluas secara berfasa.

Beliau berkata inisiatif berkenaan akan disokong menerusi laluan rujukan berstruktur, pasukan pelbagai disiplin serta petugas terlatih.

“Selama ini usaha kita lebih tertumpu kepada pendekatan bukan farmakologi seperti menggalakkan diet sihat, aktiviti fizikal dan sokongan tingkah laku.

“Walaupun pendekatan itu kekal penting, kita kini beralih kepada kaedah bersepadu yang turut merangkumi rawatan farmakologi dan jika sesuai, pilihan pembedahan untuk mengurus obesiti sebagai penyakit kronik,” katanya.

Beliau berkata usaha menangani obesiti memerlukan pendekatan menyeluruh kerajaan dan rakyat dengan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik, industri serta komuniti sebagai rakan kerjasama penting.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan