SINTOK, 23 Sept (Bernama) -- Seorang gadis daripada suku Temuan Algiera Nafiesa, 20, bertekad untuk menghabiskan pengajian dengan cemerlang bagi mengejar cita-cita untuk menjadi pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) demi mengubah masa depan keluarganya.
Anak kedua daripada enam beradik itu berkata peluang untuk menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) adalah satu nikmat besar baginya dan akan memanfaatkan sebaik mungkin tempoh pengajian itu bagi mengubah landskap sosioekonomi masyarakat Orang Asli.
“Saya akan fokus untuk mendapat Anugerah Dekan pada setiap semester, seterusnya berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa dengan cemerlang,” katanya, yang berasal dari Kampung Orang Asli Sungai Mersing, Asahan, Johor.
Algiera ditemui pada Majlis Suai Kenal Pelajar Baharu UUM di sini hari ini.
Beliau berkata kejayaan melangkah ke menara gading bukanlah sesuatu yang mustahil bagi masyarakat minoriti sepertinya kerana ia dapat dicapai dengan usaha bersungguh-sungguh bermula di peringkat sekolah rendah hingga menengah.
“Impian saya mahu dapat Anugerah Dekan setiap semester. Itu hadiah terbaik untuk mak, ayah dan masyarakat Orang Asli di kampung. Saya mahu buktikan anak Orang Asli juga boleh berjaya dalam pendidikan tinggi dan ia bukan lagi angan-angan.
“Di kampung saya hanya beberapa orang yang belajar ke peringkat diploma dan ijazah, saya yakin kehadiran saya di sini akan beri semangat kepada pelajar lain daripada komuniti saya untuk menggenggam segulung ijazah dan kembali berbakti kepada masyarakat,” katanya.
Algiera yang juga anak pekebun kecil berkata pada mulanya, UUM bukanlah pilihan utamanya, namun kini menganggap ia kampus terbaik kerana dalam persekitaran alam semula jadi yang sangat serasi dengan jiwanya.
“Pilihan utama saya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kedua UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin). Tak sangka diterima ke UUM tapi bila sampai sini, saya terkejut kerana suasana di sini sangat tenang dan dikelilingi kehijauan. Saya rasa tempat ini sesuai dengan jiwa saya dan mudah fokus belajar di sini," katanya.
Algiera turut menasihatkan pelajar Orang Asli agar meneruskan pelajaran kerana banyak sokongan dan bantuan disediakan oleh kerajaan kepada golongan sepertinya terutama dalam bidang pendidikan.
Sementara itu, Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata sesi kemasukan pelajar baharu kali ini mencatatkan sebanyak 4,549 orang, yang mengikuti 48 program pengajian ijazah sarjana muda.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 4,381 adalah pelajar tempatan daripada Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), diploma, matrikulasi serta asasi pengurusan UUM, manakala 168 orang pelajar antarabangsa.
“UUM turut menerima sembilan pasangan kembar serta 11 pelajar orang kurang upaya (OKU) untuk sesi kali ini.
“Kehadiran pelajar daripada pelbagai latar belakang termasuk komuniti Orang Asli membuktikan UUM komited memberi peluang pendidikan tinggi secara inklusif,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial